Gara-gara BYD Racco, Honda dan Suzuki mahu cepatkan pembangunan kei car EV

5

Perancangan BYD untuk memperkenalkan kei car elektrik Racco untuk pasaran Jepun membuatkan pengeluar Jepun mula goyang dan tidak senang duduk. 

Menurut laporan terbaharu daripada Nikkei Asia, Honda merancang untuk memperkenalkan N-Box versi elektrik (EV) menjelang tahun 2027.

Untuk info, Honda N-Box telah menjuarai carta jualan kenderaan baharu untuk tempoh tiga tahun berturut-turut, dengan lebih 206,000 unit terjual pada tahun lepas.

Namun buat masa ini ia hanya ditawarkan dengan pilihan enjin tiga silinder sebaris 658 cc NA (kuasa 58 hp) atau enjin turbo berkuasa 63 hp.

Menurut laporan Nikkei lagi, Honda masih belum menentukan spesifikasi serta strategi harga untuk N-Box EV.

Lebih penting, model baharu itu tidak akan menggantikan terus versi enjin pembakaran dalaman, sebaliknya akan dijual sebagai satu pilihan kepada pelanggan di sana.

Buat masa ini, EV bukanlah satu pilihan utama di pasaran domestik Jepun. Hanya 2 peratus sahaja jualan kenderaan baharu terdiri daripada EV.

Namun, kei car elektrik merupakan antara pilihan utama di kalangan pembeli EV di mana 40 peratus lebih gemarkan model seperti Nissan Sakura EV dan Mitsubishi eK X EV.

Selain Honda, Suzuki juga turut merancang untuk mempercepatkan pembangunan kereta kecil berkuasa elektrik.

Diperlihatkan secara rasmi di acara Japan Mobility Show 2025, BYD Racco menawarkan ciri seperti pek bateri 20 kWh dengan jarak pandu sejauh 180 km untuk sekali cas penuh.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here