Utama Berita Automotif TIV cecah 820,752 unit, pasaran automotif Malaysia kekal kukuh 2025

TIV cecah 820,752 unit, pasaran automotif Malaysia kekal kukuh 2025

9

Sebanyak 820,752 unit kenderaan telah terjual pada tahun 2025, mencatatkan jualan keseluruhan industri (TIV) meningkat 0.5 peratus berbanding 816,747 unit pada 2024.

Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan industri yang berjaya melepasi ambang 800,000 unit buat kali kedua.

Menurut Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zaini, ia didorong terutamanya segmen kenderaan penumpang yang mencatatkan jualan sebanyak 759,098 unit, meningkat 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ia disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan eksport, dengan KDNK berkembang sebanyak 4.7 peratus bagi tiga suku pertama 2025.

“Bahkan, kadar dasar semalaman (OPR) telah dikurangkan kepada 2.75 peratus sejak Julai 2025, sekaligus menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pinjaman kenderaan,” ujarnya.

Beliau berkata pasaran pekerjaan positif dengan kadar pengangguran mencatatkan paras terendah dalam tempoh 11 tahun, iaitu pada kadar 2.9 peratus yang turut menyumbang kepada pencapaian berkenaan.

Bagaimanapun, segmen kenderaan komersial mengalami penurunan sebanyak 5.2 peratus dengan 61,654 unit terjual akibat kelembapan permintaan daripada sektor perniagaan.

Beliau menambah kenderaan jenama nasional mencatat jualan 511,468 unit atau menyumbang 62.3 peratus bahagian pasaran berbanding 309,284 unit bagi buatan bukan nasional atau 37.7 peratus daripada bahagian pasaran.

Manakala pertumbuhan kenderaan elektrik (xEV) turut menunjukkan momentum positif apabila jualan melonjak kepada 34,064 unit pada 2025, merangkumi 4.2 peratus daripada keseluruhan TIV.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18,362 unit adalah kenderaan elektrik bateri (BEV), manakala 15,702 unit adalah kenderaan hibrid (HEV).

Selain itu, jumlah pengeluaran kenderaan tempatan pada 2025 turut meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada 815,645 unit berbanding 803,770 unit pada 2024.

Bagi tahun 2026, MAA menjangkakan TIV akan mengalami sedikit penyusutan sebanyak 3.8 peratus kepada 790,000 unit.

“Ramalan ini mengambil kira beberapa faktor ekonomi global, ketegangan geopolitik, serta jangkaan kenaikan kos sara hidup susulan penyasaran semula subsidi bahan api.

“Meskipun terdapat cabaran, beberapa faktor positif dijangka terus menyokong industri pada 2026, antaranya adar pengangguran yang rendah dan stabil (2.9 peratus), permintaan tinggi terhadap kenderaan mampu milik dan menjimatkan bahan api, pelancaran model-model baharu serta pembangunan ekosistem EV yang semakin matang hasil sokongan kerajaan dan pelaburan asing,” ujarnya. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here