
Mforce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan pembangunan model baharu 200cc yang bakal menampilkan konsep dikenali sebagai “Skucai” yang pertama di dunia.
Skucai itu menggabungkan tiga elemen berbeza iaitu reka bentuk skuter, enjin kapcai dan sistem CVT automatik dalam satu platform serba baharu, sekali gus mewujudkan satu segmen baharu dalam industri dua roda.
Mforce telah melaburkan sebanyak RM10 juta bagi pembangunan produk berkenaan melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan reka bentuk, ujian ketahanan, pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad berkata model prototaip telah siap sepenuhnya dan kini berada dalam fasa penghasilan unit pra-pengeluaran untuk menjalani ujian ketahanan serta penilaian prestasi menyeluruh.
“Ujian tersebut merangkumi simulasi penggunaan harian dan ujian jarak jauh bagi memastikan tahap kualiti, keselamatan dan ketahanan berada pada standard terbaik sebelum diperkenalkan ke pasaran.
“Skuchai ini akan dipamerkan buat pertama kali di Malaysia Bike Show (2026) pada Mei akan datang dan pelancaran pada suku tahun pertama 2027, tertakluk kepada kelancaran fasa ujian ketahanan dan persediaan pengeluaran akhir,” katanya.

Pembangunan berkenaan adalah hasil kerjasama strategik bersama syarikat rakan teknologi Mforce di China dan projek itu menjadi tugasan pertama syarikat sejak penubuhannya pada awal 2025.
Menurut kenyataan, jurutera Malaysia memainkan peranan penting dalam melahirkan idea konsep awal, menghasilkan lakaran reka bentuk serta membangunkan model tanah liat sebelum memasuki fasa pengeluaran.
“Gabungan kepakaran antarabangsa dan kreativiti tempatan ini memastikan model yang dihasilkan bukan sahaja berdaya saing dari sudut teknologi, malah menepati citarasa pengguna tempatan dan serantau,” jelasnya.


