
Mitsubishi Motors membuka tahun 2026 dengan pencapaian besar apabila Mitsubishi Motors Vietnam mencatat jualan 44,107 unit sepanjang 2025, meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya.
Disember pula menjadi bulan paling bersejarah dengan 8,960 unit terjual, sekaligus menempatkan Mitsubishi buat pertama kali di kedudukan nombor satu pasaran enjin pembakaran dalaman (ICE) Vietnam.
Prestasi luar biasa ini digerakkan oleh dua model teras, Xpander dan Xforce yang menerima sokongan kukuh daripada pengguna keluarga.
Xpander & Xforce Kekal Mendominasi
Dalam ranking model 2025, Xpander terus mengukuhkan statusnya sebagai MPV paling laris di Vietnam untuk tujuh tahun berturut-turut dan sekaligus mengungguli jualan keseluruhan kenderaan ICE selama tiga tahun berturut-turut.
Pada masa sama, Xforce mencatat prestasi cemerlang apabila mengekalkan kedudukan sebagai SUV segmen B nombor satu selama dua tahun berturut-turut serta menjadi model ICE paling laris pada Disember.
Penerimaan tinggi ini membuktikan keupayaan Mitsubishi membaca keperluan pengguna urban yang mahukan gabungan gaya, ruang dan ketahanan.
Selain Xpander dan Xforce, pengenalan SUV segmen pertengahan baharu, Destinator, turut memberi sumbangan kepada prestasi Mitsubishi Vietnam pada Disember 2025.
Model ini menggabungkan kemampuan pemanduan SUV dengan keselesaan seakan MPV, dan sambutan awal menunjukkan potensinya dalam pasaran Vietnam.
Kehadiran Xpander, Xforce dan Destinator menunjukkan kekuatan barisan model ASEAN Mitsubishi yang terus menerima sambutan kukuh di Vietnam.
Xforce Vietnam
Penawaran Xforce di Vietnam dibahagikan kepada empat varian utama iaitu GLX, Exceed, Premium dan Ultimate.
Xforce di Vietnam digerakkan enjin 1.5 liter DOHC MIVEC berkuasa 105 ps dan 141Nm dan dipadankan dengan transmisi CVT.
Dua varian teratas iaitu Premium dan Ultimate dilengkapi empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud.
Dari segi teknologi bantuan pemanduan, Xforce Ultimate lengkap dengan Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Pengelakan Pelanggaran Depan (FCM) dan beberapa lagi.
Xforce dibangunkan khusus berdasarkan keadaan jalan dan cuaca Asia Tenggara yang kerap berdepan hujan lebat dan permukaan licin.
Malaysia Destinasi Seterusnya
Selepas kejayaan besar di Vietnam, Mitsubishi bakal memperkukuhkan lagi kehadiran sejak sekian lama di pasaran tempatan dengan kehadiran Xforce.
Model ini bakal memasuki pasaran tempatan dan tempahan rasmi akan dibuka awal Februari.
Dengan segmen B-SUV tempatan yang rancak, Xforce bersedia mencabar pemain sedia ada melalui reka bentuk moden, talaan pemanduan khas ASEAN dan reputasi Mitsubishi dalam ketahanan serta kebolehpercayaan.
Berdasarkan kejayaan Xpander dan Mitsubishi yang mempunyai peminat tersendiri, Xforce berpotensi untuk meneruskan populariti SUV sebelum ini seperti Outlander dan ASX.






