Utama Berita Automotif Perang Harga : BYD, Tesla, Xiaomi lancar pinjaman 7-tahun gara-gara jualan menjunam

Perang Harga : BYD, Tesla, Xiaomi lancar pinjaman 7-tahun gara-gara jualan menjunam

389

Pasaran automotif China memulakan tahun 2026 dengan jualan runcit dan borong yang perlahan dengan ketara. 

Menurut laporan IT-home, situasi ini memaksa pengeluar kereta utama, termasuk BYD, untuk menawarkan pembiayaan faedah rendah bagi merangsang permintaan.

Pada 25 Februari lalu, unit jualan Ocean Network BYD mengumumkan kempen promosi yang menawarkan faedah pinjaman rendah sehingga tujuh tahun, tanpa wang pendahuluan dan bayaran harian serendah CNY29 yuan (RM17) bagi pelbagai model termasuk siri Seal, Sealion, Dolphin dan Seagull.

Tawaran itu sah sehingga 31 Mac ini dan menyusuli langkah sama adalah Tesla, Xiaomi, Nio, dan jenama di bawah Geely.

Manakala sub-jenama off-road BYD, Fangchengbao turut mengumumkan program pembiayaan yang sama sehari sebelumnya bagi model Bao 5 dan Tai 7.

Polisi tersebut menawarkan pinjaman tujuh tahun dengan kadar faedah serendah 1.5 peratus dan wang pendahuluan minimum CNY32,000 (RM18,277) sehingga Mac. 

Pemerhati industri berpendapat gelombang pembiayaan panjang itu adalah tindak balas kepada prestasi jualan yang lemah pada awal tahun. Menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Kenderaan Penumpang China (CPCA) :

  • Jualan Runcit Keseluruhan: Kira-kira 1.544 juta unit terjual pada Januari 2026, merosot 13.9% berbanding tahun lalu

  • Kenderaan Tenaga Baharu (NEV): Jualan menjunam 20% kepada 596,000 unit, dengan kadar penembusan NEV turun kepada 38% daripada jualan keseluruhan

  • Jenama Domestik: Penghantaran runcit jenama China turut jatuh hampir 18%

Faktor Pasca-Insentif Cukai

Data CPCA menunjukkan kejatuhan mendadak sebanyak 42 peratus berbanding Disember 2025. Ini disebabkan oleh pengecualian penuh cukai pembelian NEV yang tamat pada akhir tahun 2025 sekaligus mencetuskan “pembelian panik” pada Disember lalu.

Prestasi pengeluar juga dilihat berbeza:

  • Jualan borong BYD jatuh kira-kira 30% berbanding tahun 2025

  • Sebaliknya syarikat start-up, jenama seperti Xiaomi EV dan Leapmotor mencatatkan pertumbuhan tahun-ke-tahun yang memberangsangkan bagi penghantaran Januari.

Penganalisis menekankan bahawa momentum jualan awal tahun terkesan oleh beberapa faktor termasuk sambutan Tahun Baru Cina, tamatnya insentif cukai, serta tempoh permintaan bermusim yang perlahan.

Dengan tekanan jualan ini, pengeluar kini semakin bergantung kepada tawaran pembiayaan kreatif untuk mengekalkan kunjungan pelanggan ke bilik pameran sepanjang suku pertama 2026.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here