Utama Berita Automotif Toyota GRMN Corolla, versi paling ekstrem dibangunkan di Nürburgring, 2 penumpang sahaja!

Toyota GRMN Corolla, versi paling ekstrem dibangunkan di Nürburgring, 2 penumpang sahaja!

9

Toyota GAZOO Racing (GR) memperkenalkan GRMN Corolla, versi paling ekstrem dalam keluarga GR Corolla yang dibangunkan untuk menawarkan pengalaman pemanduan penuh keyakinan pada had maksimum prestasi di litar Nürburgring, Jerman.

Model baharu itu lahir daripada falsafah GR untuk menghasilkan kereta yang dibangunkan menerusi sukan permotoran serta keinginan kuat Pengerusi Toyota Motor Corporation dan Master Driver, Akio Toyoda.

Beliau yang juga dikenali sebagai Morizo yang mahu menghidupkan semula sebuah Corolla yang benar-benar mampu memikat pelanggan.

GRMN Corolla akan ditawarkan dalam jumlah terhad dengan pasaran utama merangkumi Jepun, Amerika Utara dan Australia.

Di Jepun, Toyota merancang membuka permohonan rundingan jualan menerusi aplikasi telefon pintar GR App sekitar musim luruh 2026 sebelum jualan bermula pada 2027.

Dibangunkan Untuk Menyerang Nürburgring Pada Pendikit Penuh

Menurut pasukan pembangunan, GRMN Corolla dibangunkan berdasarkan pendirian Morizo bahawa sebuah model yang membawa nama GRMN perlu mampu menakluk Nürburgring dengan penuh yakin.

Pembangunan di Nürburgring dianggap penting kerana litar tersebut menawarkan permukaan jalan dan variasi input yang jauh lebih mencabar berbanding litar ujian biasa.

Keadaan itu membolehkan jurutera mengenal pasti kelemahan kenderaan dengan lebih jelas.

Hasilnya, GRMN Corolla dibangunkan sebagai sebuah kereta yang boleh dikawal mengikut kehendak pemandu pada pelbagai kelajuan termasuk di atas permukaan yang tidak rata.

Selain menjalani pembangunan di Nürburgring, model ini turut diuji menerusi penyertaan dalam siri perlumbaan Super Taikyu di Jepun serta proses pengesahan menggunakan simulator pemanduan berteknologi tinggi.

Toyota menjelaskan pelbagai cabaran yang ditemui ketika ujian di Nürburgring berjaya diselesaikan satu demi satu bagi mencapai tahap kesatuan yang tinggi antara pemandu dan jentera, termasuk ketika dipandu pada had maksimum.

Malah, beberapa penambahbaikan yang dibangunkan menerusi projek GRMN Corolla turut diterapkan pada GR Corolla 2026 yang diumumkan pada September 2025 dan dilancarkan pada November tahun sama.

Antaranya termasuk penambahan penggunaan pelekat struktur sebanyak 13.9 meter menjadikan jumlah keseluruhan 32.7 meter bagi meningkatkan kekuatan badan.

Turut dilengkapi saluran udara sejuk tambahan untuk mengurangkan peningkatan suhu udara kemasukan ketika pemanduan beban tinggi.

Aerodinamik Dibangunkan Dari Pengalaman Perlumbaan

Dalam perlumbaan seperti Super Taikyu dan ujian di Nürburgring, kenderaan sentiasa bergerak pada kelajuan tinggi serta mengalami daya G yang tinggi.

Bagi memastikan keempat empat tayar mengekalkan sentuhan optimum dengan permukaan jalan, GRMN Corolla dilengkapi komponen aerodinamik eksklusif yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan cengkaman.

Antara komponen tersebut ialah saluran udara bonet, saluran udara fender, spoiler sisi hadapan dan sayap belakang.

Komponen berkenaan dibangunkan menggunakan pengalaman daripada GR Corolla berenjin hidrogen yang berlumba dalam siri Super Taikyu sebelum diperhalusi lagi di Nürburgring.

Toyota turut melakukan pelbagai pelarasan terhadap sayap belakang yang mempunyai lima tahap pelarasan sudut.

Ketika ujian, sudut sayap diubah satu darjah demi satu darjah dan dinilai oleh pemandu profesional bagi menentukan spesifikasi paling optimum.

Suspensi Eksklusif Talaan di Nürburgring

GRMN Corolla menggunakan penyerap hentak monotube eksklusif di bahagian hadapan dan belakang yang turut dilengkapi pegas lantunan dalaman.

Sistem tersebut dibangunkan untuk meningkatkan cengkaman tayar bahagian dalam ketika mengambil selekoh serta memperbaiki prestasi membelok pada kelajuan tinggi.

Keadaan permukaan Nürburgring yang menghasilkan pergerakan suspensi menegak yang lebih besar berbanding litar biasa turut digunakan untuk memperhalusi ciri hentian suspensi.

Penyerap hentak eksklusif itu dibangunkan dengan pelarasan sehingga ke tahap milimeter di bahagian hadapan dan belakang bagi mendapatkan keseimbangan optimum.

Bagi meningkatkan kestabilan ketika membrek dan mengambil selekoh, GRMN Corolla menggunakan tayar cengkaman tinggi Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245/40ZR18 yang 10 mm lebih lebar berbanding model asas.

Program kawalan untuk sistem stereng kuasa elektrik turut diubah bagi menghasilkan bantuan tork yang diperlukan ketika mengambil selekoh pada daya G tinggi.

Sistem pacuan empat roda GR FOUR yang ditala khusus pula menawarkan pengagihan tork belakang yang optimum ketika pemanduan lurus serta kestabilan lebih tinggi ketika permulaan input stereng pada kelajuan yang sangat tinggi.

Rangkaian Kuasa

Toyota turut memanfaatkan pengalaman perlumbaan menggunakan GR Corolla berenjin hidrogen dalam siri Super Taikyu untuk mempertingkatkan pembangunan enjin pembakaran dalaman.

Menurut Toyota, perlumbaan ketahanan berintensiti tinggi bukan sahaja membantu pembangunan teknologi hidrogen tetapi turut meningkatkan potensi komponen asas enjin pembakaran dalaman.

Hasil daripada pengalaman tersebut, enjin G16E GTS 1.6 liter tiga silinder turbo GRMN Corolla menghasilkan tork maksimum 415Nm, meningkat 15Nm berbanding model asas.

Pasukan pembangunan turut memberi tumpuan kepada peningkatan tork dari 3,600 hingga 4,800 rpm kerana julat tersebut penting untuk pecutan keluar dari selekoh.

Bagi memastikan kuasa enjin kekal konsisten ketika pemanduan pendikit penuh berterusan, GRMN Corolla dilengkapi sistem semburan intercooler selain saluran udara sejuk yang turut digunakan pada GR Corolla 2026.

Toyota turut melakukan pengurangan berat secara menyeluruh dengan membuang tempat duduk belakang bagi menghasilkan konfigurasi dua penumpang.

Berbanding model asas, berat berjaya dikurangkan sebanyak 30 kg sekali gus meningkatkan nisbah kuasa kepada berat dan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Dalaman Direka Untuk Pemanduan Lebih Fokus

GRMN Corolla menerima bahagian dalaman khas yang direka untuk membantu pemandu memanfaatkan sepenuhnya prestasi jentera tersebut.

Tempat duduk penuh bucket eksklusif dibangunkan berdasarkan posisi pemanduan kereta perlumbaan Super Taikyu bagi memberikan sokongan yang mampu menahan daya sisi yang lebih tinggi.

Panjang tempat duduk turut dilaraskan bagi memudahkan operasi klac manakala struktur polimer bertetulang gentian kaca membantu mengurangkan berat.

Pembangunan tempat duduk tersebut melibatkan penggunaan sebenar dalam kereta perlumbaan Super Taikyu serta maklum balas daripada pelbagai pemandu profesional termasuk ketika memakai topi keledar.

Ruang kokpit turut menerima panel instrumen dan tiang hadapan dengan kemasan flocked bagi membantu pemandu memberi tumpuan kepada pemanduan.

Panel instrumen bahagian penumpang pula dihiasi kemasan gentian karbon yang dibangunkan dan dihasilkan oleh Bahagian Karbon di kilang Motomachi Toyota.

Antara elemen eksklusif lain termasuk pelapik panel instrumen dengan tandatangan Morizo, kemasan pintu dan tombol gear berwarna Alumite Red serta plat nombor siri khas GRMN.

Spesifikasi Ringkas Toyota GRMN Corolla

  • Enjin: 1.6 liter tiga silinder turbo intercooler G16E GTS
  • Kuasa maksimum: 304ps
  • Tork maksimum: 415Nm
  • Transmisi: Manual 6 kelajuan iMT nisbah rapat
  • Sistem pacuan: GR FOUR pacuan empat roda aktif
  • Berat: 1,450kg
  • Kapasiti penumpang: 2 orang
  • Penyerap hentak hadapan: Monotube terbalik dengan pegas lantunan dalaman
  • Penyerap hentak belakang: Monotube tegak dengan pegas lantunan dalaman
  • Tayar: Michelin Pilot Sport Cup 2 245/40ZR18
  • Dimensi: 4,410 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,475 mm tinggi, jarak roda 2,640 mm
  • Warna khas: Black Gravite
  • Bonet gentian karbon
  • Fender hadapan gentian karbon
  • Spoiler sisi hadapan gentian karbon
  • Sayap belakang gentian karbon dengan pelarasan sudut
  • Rim tempa warna Matte Bronze dengan logo GR
  • Sistem semburan intercooler
  • Sub radiator
  • Talaan khas stereng kuasa elektrik
  • Talaan khas sistem pacuan empat roda
  • Tempat duduk penuh bucket eksklusif GRMN
  • Plat nombor siri khas GRMN
  • Panel instrumen dengan tandatangan Morizo
  • Panel instrumen dan tiang hadapan kemasan flocked

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here