
Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke negara ini sebaik mendarat di kawasan persisiran Pantai Remis, Perak melalui laluan yang tidak diwartakan gagal selepas ditahan polis pagi ini.
Tekong darat yang membawa sembilan PATI warga Indonesia di dalam Perodua Alza sebaik mendarat itu dipercayai ingin menuju ke rumah penampungan di kawasan Meru, Klang untuk diuruskan seorang lelaki warga Indonesia dikenali ‘Pak Haji’.
Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menahan kenderaan itu di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang, Sekinchan jam 6.30 pagi, hari ini.
Wartawan Harian Metro yang turut menyertai operasi itu menunggu sejak 10 malam tadi sebaik menerima maklumat sebuah bot pom-pom yang membawa PATI akan mendarat di perairan negara.
Pada mulanya bot itu dijangka mendarat di kawasan perairan di Selangor, namun sindiket menukar taktik dan mengubah laluan bagi mengaburi mata pihak berkuasa apabila mendarat di di kawasan persisiran Pantai Remis, Perak.
Sindiket yang mengupah tekong darat warga tempatan kemudian menyewa Perodua Alza itu sebelum mengambil PATI terbabit di sana dan dibawa masuk ke kawasan Sabak Bernam.
Sebaik tekong darat itu berhenti di kawasan stesen minyak itu, polis yang mengekori mereka kemudian terus melakukan serbuan dan pemeriksaan menemui PATI duduk berhimpit di dalam kenderaan terbabit.
Pemeriksaan menemui enam lelaki dan tiga wanita bersembunyi di dalam kereta dan terkejut sebaik melihat kehadiran polis.
Siasatan awal mendapati kesemuanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Difahamkan mereka membayar antara RM1,500 hingga RM1,600 secara tunai kepada tekong bot sebelum berlepas.
Polis turut merampas sebuah Perodua Alza, dua telefon bimbit serta satu anak kunci dalam operasi berkenaan.
Semua tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan tangkapan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.































