
Leapmotor memperkenalkan SUV elektrik B10 di pasaran tempatan pada Disember lalu. Harga pengenalan yang ditawarkan cukup menarik iaitu di antara RM100 ribu sehingga RM110 ribu.
Seperti biasa, pengeluar China tidak hanya menawarkan satu penyelesaian dan terbaru memperkenalkan B10 Hybrid EV untuk pasaran Eropah.
Model ini menggunakan teknologi Range Extender (REEV) yang menawarkan pemanduan elektrik tetapi dengan fleksibiliti jarak gerak yang lebih jauh.
Secara ringkas, teknologi REEV menggabungkan enjin pembakaran dalaman dengan perkakasan elektrik yang menggerakkan kenderaan.
Rangkaian Kuasa dan Teknologi REEV
Berbeza dengan sistem hibrid konvensional (HEV) atau hibrid plug-in (PHEV), B10 Hybrid EV dibina berasaskan sistem pacuan elektrik sepenuhnya yang dibantu oleh enjin petrol 1.5 liter yang berfungsi sebagai penjana.
Dalam sistem ini, roda dipacu oleh motor elektrik dan unit enjin petrol tersebut tidak mempunyai sebarang sambungan mekanikal ke roda.
Tugas utama enjin hanyalah untuk menjana tenaga elektrik bagi mengecas bateri semasa dalam perjalanan.
Sistem ini menawarkan empat mod tenaga iaitu EV+, EV, Fuel dan Power+ yang membolehkan pemandu menyesuaikan tahap prestasi serta kecekapan mengikut keperluan.
Pendekatan ini memastikan pengalaman pemanduan yang senyap dan lancar seperti kenderaan elektrik tetapi tanpa kebimbangan terhadap jarak gerak atau ketersediaan infrastruktur pengecasan pantas.
Prestasi dan Jarak Pemanduan
Dari segi teknikal, B10 Hybrid EV dilengkapi dengan pek bateri 18.8 kWj yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 80 km berdasarkan kitaran WLTP.
Apabila digabungkan dengan penjana onboard 50 kW (68 ps), jarak keseluruhan mampu mencecah sehingga 900 km.
Gabungan ini memberikan tork segera dan pecutan tanpa gangguan pertukaran gear semasa pemanduan.
Dimensi dan Keselesaan Ruang Kabin
B10 Hybrid EV mempunyai dimensi panjang 4,530 mm, lebar 1,885 mm dan tinggi 1,655 mm dengan jarak roda sepanjang 2,735 mm.
Ukuran ini memberikan keseimbangan antara kelincahan untuk pemanduan urban serta ruang dalaman yang luas bagi sebuah SUV segmen B.
Ruang kabin direka dengan atmosfera yang mewah dan praktikal untuk kegunaan harian. Ia menawarkan ruang kepala hadapan dan belakang yang terbaik dalam kelasnya.
Keselesaan penumpang turut diutamakan melalui penggunaan kerusi sport material eco-leather yang dilengkapi dengan fungsi pemanasan dan pengudaraan di bahagian hadapan.
Teknologi Pintar dan Ciri Keselamatan
Pemandu dibekalkan dengan sistem antara muka moden melalui LEAP OS 4.0 Plus yang dikuasakan oleh cip Qualcomm 8155 berprestasi tinggi.
Semua kawalan kenderaan, hiburan dan ketersambungan dipaparkan melalui skrin HD 2.5K bersaiz 14.6 inci.
Pengalaman dalam kabin diserikan lagi dengan sistem audio berkualiti tinggi yang mempunyai 12 pembesar suara.
Aspek keselamatan dikukuhkan dengan penggunaan rangka berkekuatan tinggi serta ketegaran kilasan yang ditingkatkan.
Kenderaan ini dilengkapi dengan tujuh beg udara dan 17 fungsi ADAS (Sistem Bantuan Pemandu Termaju) untuk membantu pemandu dalam pelbagai keadaan jalan raya.
Pilihan Varian dan Sasaran Pasaran
Untuk Eropah, Leapmotor menawarkan model ini dalam dua pilihan varian iaitu Life Hybrid EV dan Design Hybrid EV.
Pembeli boleh memilih daripada enam warna luaran dan tiga pilihan kemasan ruang dalaman.
Model ini disasarkan secara khusus kepada pengguna bandar yang mementingkan teknologi, keluarga kecil serta pelanggan yang ingin beralih kepada SUV yang lebih moden dan cekap tenaga.
Harga B10 Hybrid EV bermula dari €29,900 (kira-kira RM137,719).
Spesifikasi Ringkas Leapmotor B10 Hybrid EV 2026 (Eropah)
- Pilihan Varian: Life Hybrid EV dan Design Hybrid EV
- Harga Bermula: €29,900 (kira-kira RM137,719)
- Sistem Pacuan: Range Extender EV (REEV)
- Enjin Penjana: 1.5L Petrol
- Motor Elektrik: Pacuan Roda (100 peratus elektrik)
- Output Penjana: 50 kW (68 ps)
- Kapasiti Bateri: 18.8 kWj
- Jarak Pemanduan Elektrik (WLTP): 80 km
- Jarak Pemanduan Gabungan: 900 km
- Mod Tenaga: EV+, EV, Fuel, Power+
- Dimensi: Panjang 4,530 mm, lebar 1,885 mm, tinggi 1,655 mm
- Jarak Roda: 2,735 mm
- Sistem Operasi: LEAP OS 4.0 Plus
- Unit Pemprosesan: Qualcomm 8155
- Saiz Skrin: 14.6 inci HD 2.5K
- Sistem Audio: 12 pembesar suara
- Beg Udara: 7 unit
- Fungsi Keselamatan: 17 ADAS



































