
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 14 kenderaan tidak berkastam dengan keseluruhan melebihi RM4.4 juta menerusi Operasi Termayang dijalankan dari 2 hingga 10 Februari lalu.
Timbalan Pengarah Kastam Kelantan, Dr Ishak Ismail berkata rampasan itu dibuat di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru hasil risikan selama tiga bulan dengan bantuan maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata operasi itu berjaya merampas lapan kereta mewah pelbagai jenama termasuk Aston Martin, Jaguar XJ, Mercedes Benz A180, Nissan Teana, Toyota Vios, Maserati dan Toyota GT 86 serta enam motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki.
“Kesemua kenderaan dianggarkan bernilai lebih RM1.54 juta dengan jumlah cukai melebihi RM2.9 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan lebih RM4.4 juta,” katanya.
Tambah beliau, kenderaan berkenaan dipercayai diseludup dari Singapura melalui jalan darat sebelum disimpan di parkir kondominium, pangsapuri dan taman perumahan sekitar ibu negara serta Johor Bahru sebelum dijual kepada pelanggan.
“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu dijual kepada pelanggan, khususnya golongan muda di seluruh negara, pada harga kira-kira 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.






























