Utama Berita Automotif Leapmotor B10 lancar di Malaysia: Dua varian EV dengan jarak sehingga 434km,...

Leapmotor B10 lancar di Malaysia: Dua varian EV dengan jarak sehingga 434km, bermula RM99,800

216

Stellantis Malaysia memperkenalkan Leapmotor B10, SUV elektrik segmen-C yang dibangunkan di atas platform LEAP3.5, sekali gus menambah pilihan baharu dalam pasaran kenderaan elektrik mampu milik negara.

Model ini hadir dengan dua varian membabitkan LIFE dan DESIGN yang masing-masing dibezakan melalui kapasiti bateri, keupayaan pengecasan dan jarak pemanduan.

Dari sudut reka bentuk dan teknologi, kedua-dua varian berkongsi asas yang sama. B10 mengekalkan identiti futuristik Leapmotor dengan elemen estetik seperti garis cloudtrail, fender Star Ring dan kemasan aerodinamik yang membantu model ini mencapai nilai seretan udara serendah 0.265 Cd. 

Bahagian hadapan pula menampilkan lampu LED penuh dengan DRL kotak-kotak, manakala bahagian belakang diserikan lampu LED melintang gaya Wing Star, selain dilengkapi rim aloi 18 inci yang memberi karakter lebih matang pada SUV elektrik ini.

Namun, perbezaan ketara antara kedua-dua varian mula dirasai pada rangkaian kuasa dan jarak pemanduan. 

Varian LIFE menggunakan bateri 56.2kWh, manakala varian DESIGN dipadankan dengan bateri lebih besar 67.1kWh. Ini mempengaruhi jarak operasi, dengan LIFE mampu mencapai sehingga 361km (WLTP) dan DESIGN meningkat kepada 434km (WLTP). 

Untuk mereka yang sering melakukan perjalanan jarak jauh, varian DESIGN pastinya memberi lebih ketenangan minda dengan kapasiti bateri yang lebih besar.

Keupayaan pengecasan turut dibezakan. Varian LIFE menyokong pengecasan pantas DC sehingga 140kW, manakala DESIGN menerima peningkatan kepada 168kW. 

Walaupun kedua-duanya mampu mencapai pengisian 30 ke 80 peratus dalam tempoh kurang daripada 20 minit, varian DESIGN mendapat sedikit kelebihan dalam kelajuan dan kecekapan pengecasan, terutama pada sesi pengecasan DC berkuasa tinggi. 

Semua varian tetap mengekalkan pengecasan AC 11kW untuk penggunaan di rumah atau stesen awam biasa.

Dari segi prestasi, B10 mengekalkan angka kuasa yang sama untuk kedua-dua varian membabitkan 218hp dan 240Nm. Ia membolehkan pecutan 0–100km/j dilakukan dalam 8 saat.

Platform LEAP3.5 dengan teknologi Cell-to-Chassis 2.0+ memberikan casis yang rigid, pusat graviti rendah dan agihan berat hampir seimbang 50:50 untuk menghasilkan pemanduan lebih stabil serta kehalusan NVH yang baik.

Ruang dalaman B10 pula memaparkan pendekatan minimalis moden dengan penekanan pada material premium. 

Varian DESIGN hadir dengan kemasan yang lebih eksklusif termasuk pilihan kulit Shadow Grey ECO, manakala LIFE menggunakan kemasan warna kelabu gelap.

Kedua-duanya dilengkapi skrin infotainmen 14.6 inci berasaskan Leap OS 4.0 Plus, diiringi paparan instrumen 8.8 inci dan cip Snapdragon 8155 untuk prestasi antara muka yang lancar. Apple CarPlay dan Android Auto akan diperkenalkan bermula Januari 2026.

Kabin itu turut menawarkan ruang yang luas untuk penumpang, termasuk ruang but 430 liter atau sehingga 1,700 liter dengan kerusi belakang dilipat. Tambahan ruang simpanan frunk 25 liter menjadikan B10 antara SUV elektrik yang paling praktikal dalam segmennya.

Dari aspek keselamatan, B10 meraih penarafan Euro NCAP 5 Bintang dengan skor 93 peratus untuk perlindungan dewasa dan kanak-kanak. Ia dilengkapi tujuh beg udara dan 17 sistem ADAS Tahap 2 termasuk ACC, Lane Keeping, AEB, Blind Spot Detection dan Traffic Jam Assist.

Leapmotor B10 dijual dengan 

  • LIFE pada harga RM107,800
  • DESIGN pada harga RM118,800

Namun sempena pelancarannya untuk 200 pelanggan terawal akan menerima rebat RM8,000 untuk varian LIFE, manakala DESIGN diberi rebat RM9,000.

Harga Promosi: 

  • LIFE pada harga RM99,800
  • DESIGN pada harga RM109,800

Lima pilihan warna ditawarkan termasuk Metallic Black, Light White, Tundra Grey, Dawn Purple dan warna signatur Starry Night Blue.

Kedua-dua varian turut disertakan waranti kenderaan 6 tahun/150,000km dan waranti bateri 8 tahun/160,000km, dengan selang servis setahun atau 20,000km.

GALERI GAMBAR

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here