
Alasan seorang lelaki warga Ghana kononnya tidak mengetahui cukai jalan dan insurans kenderaan dipandu sudah tamat tempoh gagal mengelakkannya daripada dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada hari terakhir Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 yang dijalankan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Plaza Tol Tangkak, Johor hingga Plaza Tol Pedas, Negeri Sembilan, kelmarin.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata Ford Ranger yang dipandu lelaki terbabit bersama dua rakan senegaranya dikesan menggunakan lorong kecemasan di KM182 lebuh raya dekat Jasin sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
Menurut beliau, pemandu itu mengemukakan pasport Ghana serta lesen memandu antarabangsa yang dikeluarkan Persekutuan Automobil Antarabangsa.

“Semakan lanjut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan itu sudah tamat tempoh sejak 12 Ogos tahun lalu selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Pemandu itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah untuk memandu di negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, lelaki itu mendakwa tidak mengetahui status cukai jalan dan insurans kenderaan berkenaan kerana ia milik rakannya yang kini berada di Amerika Syarikat.
“Difahamkan, mereka yang bekerja di syarikat teknologi maklumat dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur ketika ditahan.
“Atas pelbagai kesalahan yang dikesan, JPJ mengeluarkan notis saman P22 dan menyita kenderaan terbabit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Siti Zarina berkata, menerusi operasi sama di jalan sekitar negeri ini, tiga motosikal ditunggang lelaki warga China, Indonesia dan Bangladesh turut disita selepas mereka didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Katanya, warga China berusia 50 tahun yang menunggang Yamaha Ego 125 Gear itu ditahan di Jalan Melaka Sentral jam 5.45 petang.
“Lelaki Indonesia dan Bangladesh berusia 34 dan 42 tahun yang menunggang Honda Beat dan Honda Dash pula ditahan di Jalan Panglima Awang sekitar jam 5.50 petang,” katanya.
Kesemua kenderaan yang terbabit disita dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.































