
Stellantis selaku pengeluar automotif dan penyedia mobiliti global terkemuka, mencapai mercu tanda industri signifikan dengan permulaan pengeluaran model baharu PEUGEOT 408 di kilang Stellantis Gurun, Kedah.
Dengan trenkuasa PureTech 1.6 liter pengecas turbo yang dikemas kini dengan penarafan Euro 6, model fastback yang memenangi pelbagai anugerah ini disasarkan untuk pasaran eksport serantau.
Taiwan antara negara yang disahkan sebagai pasaran ketiga menerima model buatan Malaysia ini selepas Thailand pada 2024 dan Kemboja pada 2025.
Disokong pelaburan bernilai €1.5 juta, kilang Stellantis Gurun melalui penaiktarafan barisan pengeluaran, termasuk Penyelidikan & Pembangunan (R&D) khusus untuk ‘kalibrasi trenkuasa’ dan pembangunan alat ganti tempatan.

Konfigurasi ini menghasilkan kuasa ditingkatkan sehingga 225hp, setanding varian Plug-In Hybrid (PHEV), namun mengekalkan berat kenderaan (kerb weight) lebih ringan iaitu 168kg.
Pasaran tambahan di rantau Asia-Pasifik kini sedang dinilai bagi tujuan eksport model berprestasi tinggi dan cekap ini.
Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, visi utama mereka untuk mentransformasikan Gurun sebagai pemacu utama serantau mula membuahkan hasil, disokong pelaburan strategik menaik taraf fasiliti untuk pengeluaran tempatan dan eksport.
“Perkembangan terbaharu ini menyerlahkan komitmen kami untuk meningkatkan hasil pengeluaran di Malaysia, di samping memperluas rangkaian jenama dan model dalam portfolio Stellantis bagi memenuhi keperluan pelbagai di rantau ini,” katanya.

Pencapaian itu juga menjadi tunjang kepada pelan hala tuju strategik Stellantis untuk menjadikan kilang di Gurun sebagai pusat pembuatan serantau dengan standard kualiti peneraju industri.
“Syarikat menyasarkan untuk mencapai kapasiti pengeluaran penuh di fasiliti tersebut, dengan sasaran eksport sebanyak 280,000 kenderaan ke 20 buah negara di seluruh rantau Asia-Pasifik menjelang tahun 2028,” jelasnya.
Pertumbuhan ini turut diperkukuh dengan strategi Stellantis Gurun menampung pembuatan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV), Enjin Pembakaran Dalaman (ICE), dan Kenderaan Elektrik Hibrid Ringan (MHEV).

Usaha ini termasuklah pemasangan tempatan kenderaan elektrik Leapmotor, bermula dengan Leapmotor C10 susulan pelaburan khusus sebanyak €5 juta.
PEUGEOT 408 baharu, model pertama dilancarkan di bawah entiti Stellantis Malaysia, melambangkan perubahan drastik berbanding model terdahulu.
Dihasilkan secara tempatan di kilang Gurun, model fastback pemenang anugerah ‘Design of the Year’ Red Dot 2023 ini mempamerkan estetika yang direka bentuk semula sepenuhnya dengan kejuruteraan dan teknologi canggih.
Ia sekali gus menandakan masa depan cerah bagi jenama PEUGEOT dalam pasaran automotif Malaysia dan serantau.

