
Chery Malaysia bakal membariskan siri SUV Tiggo sebagai teras utama strategi produknya bagi tahun 2026, selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan jenama itu dalam pasaran SUV tempatan.
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2023 menerusi model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, Chery terus mengembangkan rangkaian produknya secara konsisten.
Ini diikuti dengan pelancaran Tiggo 7 Pro pada tahun 2024 bersama model elektrik sepenuhnya, Omoda E5.
Pada tahun 2025, Chery mempelbagaikan tawaran dengan pelancaran Tiggo Cross dalam varian pengecas turbo dan hibrid, selain memperkenalkan teknologi Chery Super Hybrid (CSH).

Pasaran kemudiannya menyaksikan pengenalan Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV, sekali gus menandakan kemasukan rasmi Chery ke segmen hibrid plug-in.
Varian CSH elektrik menyumbang sebanyak 21 peratus daripada keseluruhan jualan Chery pada tahun 2025, manakala model enjin pembakaran dalaman (ICE) merangkumi 79 peratus.
“Bagi tahun 2026, kami menjangkakan produk CSH akan meningkat sehingga menyumbang 30 peratus daripada komposisi jualan kami.
“Pertumbuhan ini didorong minat semakin meningkat terhadap kenderaan hibrid canggih dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia.
Lee menambah, siri Tiggo kekal sebagai fokus utama dalam strategi syarikat dengan dipacu hala tuju teknologi CSH.
Perluasan Rangkaian Model 2026
Chery juga melancarkan ‘model aras mula’ Tiggo 8 pada Januari lalu dan merancang memperkenalkan SUV flagship baharu pada suku kedua 2026.
Dua lagi model tambahan dijadual menyusul pada suku ketiga, diikuti satu lagi model berteraskan CSH pada suku terakhir tahun ini.

Lee memaklumkan, pengembangan portfolio ini dibina berdasarkan prestasi jualan terkumpul – 30,073 unit – yang dicatatkan antara tahun 2023 hingga 2025.
Jualan dari kumpulan ‘keluarga’ Tiggo melonjak daripada 16 peratus pada 2023 kepada 66 peratus pada 2025.
Secara keseluruhan, gabungan siri Tiggo dan Omoda mencatatkan jualan sebanyak 12,930 unit pada tahun 2025.
Rangkaian Servis dan Pengiktirafan
Chery mengendalikan 59 pusat jualan, 54 kemudahan selepas jualan serta 25 pusat ‘ketukan dan cat’ di seluruh negara.

Syarikat itu dalam proses menaik taraf cawangan terpilih dengan reka bentuk bilik pameran Generasi ke-4, bermula dengan Chery Perai di Pulau Pinang.
Di majlis anugerah Malaysia Car of the Year 2025, Tiggo Cross HEV dinobatkan sebagai Crossover xEV of the Year (bawah RM120,000), manakala Tiggo 8 PHEV pula mendapat anugerah Most Energy Efficient Vehicle 2025.
“Kami amat berbangga melihat Tiggo Cross HEV mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada pemandu di Malaysia,” ujar Lee, sambil menekankan anugerah itu memberi gambaran terhadap komitmen Chery Malaysia terhadap mobiliti elektrik.





























