
Kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki dan keluar dari Pulau Pinang sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina bermula 15 hingga 20 Feb ini, kata Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail.
Beliau berkata bagi memastikan kelancaran trafik, 380 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang ditugaskan 24 jam sepanjang Op Selamat 25/2026 yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.
“Jumlah itu meningkat berbanding kira-kira 1.8 juta kenderaan tahun lalu. Hal itu berikutan pergerakan pulang ke kampung halaman oleh warga kota serta mereka yang menetap di bandar untuk menziarahi keluarga sempena cuti perayaan itu, selain ketibaan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata Op Selamat 25/2026 akan turut melibatkan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dengan penugasan 350 unit rondaan, termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan peronda (MPV), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS).
Azizee berkata dalam melaksanakan operasi itu, pihaknya menggunapakai konsep Pre-Emptive Services and Total Enforcement yang menekankan tindakan awal serta langkah pencegahan secara proaktif dalam menangani kesesakan dan kemalangan jalan raya.
Operasi turut menumpukan kepada kawasan kerap berlaku kemalangan dan sering mengalami kesesakan khususnya di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, daerah mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi serta kawasan berisiko tinggi mengalami kesesakan.
“Sebanyak 45 lokasi telah dikenal pasti antaranya Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara, Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah serta Jalan Besar Simpang Empat (KM12 hingga KM32) di Seberang Perai Selatan.
“Turut dikenal pasti ialah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam-Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah serta Jalan Tun Dr Awang,” katanya sambil menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan.


