
Kerajaan perlu membuat pelbagai pertimbangan sekiranya mahu mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka bagi semua kenderaan.
Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu sememangnya pernah dibincangkan, namun masih belum ada keputusan mengenainya dan di peringkat advokasi.
“Kita (kerajaan) ada bincang (wajib pemasangan dashcam), tapi belum ada keputusan kerana perkara seperti ini perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan terlebih dahulu.
“Bukan susah untuk kita wajibkan, tapi kalau mahu wajibkan sudah tentu ada implikasi. Jadi kita kena buat pertimbangan pelbagai aspek dan melihat pelbagai faktor terlebih dahulu sebelum sesuatu itu diwajibkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengarah 1 (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin yang berpendapat sudah sampai masanya MOT menilai untuk mewajibkan pemasangan aksesori tersebut kepada semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan lalu lintas.
Jelas Anthony lagi, apa-apa dasar baharu sudah tentu perlu melalui proses bagi melihat terlebih dahulu keberkesanannya selain mengambil kira implikasi terhadap rakyat.
“Sudah tentu kalau kita wajibkan semua memasangnya, ia akan ada tambahan kos yang mungkin menyebabkan ada sebilangan masyarakat tidak bersetuju.
“Jadi perkara seperti itu kita cuba imbangkan sama ada ia boleh diwajibkan atau tidak,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, orang ramai digalakkan untuk memasang aksesori tersebut bagi tujuan keselamatan dan sebagai perlindungan diri selain boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku sebarang insiden.
“Kita tahu ramai orang secara sukarela memasang dashcam dan bagi saya setakat ini kita di peringkat advokasi serta ambil pendekatan berhemah dalam perkara ini,” jelasnya.


