Utama Berita Automotif Dewan Rakyat lulus RUU RTS Link Johor Bahru-Singapura 2026

Dewan Rakyat lulus RUU RTS Link Johor Bahru-Singapura 2026

6

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura (2026) bagi memperkukuh asas perundangan operasi pengangkutan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, RUU tersebut berdiri di atas tiga tunjang utama iaitu memperkasakan asas perundangan, melengkapi undang-undang sedia ada serta melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Sistem ini akan menggunakan konsep pemeriksaan dan pelepasan tunggal di satu lokasi sahaja bagi menjimatkan masa perjalanan rakyat secara drastik kepada hanya lima minit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan yang telah dibahaskan 12 Ahli Parlimen sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Shamsul Anuar berkata, kerajaan turut memperuntukkan 100 unit pintu pagar automatik (e-gate) berteknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan tempoh pelepasan penumpang di stesen terlibat tidak melebihi tujuh saat.

Beliau turut memberi jaminan mengenai kedaulatan data dengan semua maklumat sulit termasuk biometrik disimpan di pusat data yang dikawal selia sepenuhnya kerajaan Malaysia tanpa akses pihak berkuasa Singapura.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan RUU tersebut menjamin kekebalan undang-undang kepada pegawai penguat kuasa Malaysia yang bertugas di Singapura daripada didakwa di mahkamah negara jiran atas tindakan tugas rasmi.

Katanya, prinsip timbal balik itu juga mewajibkan Singapura meminda undang-undang domestik mereka bagi memberikan perlindungan setara kepada pegawai Malaysia sebelum RUU itu dikuatkuasakan sepenuhnya pada 30 Sept tahun ini.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung 23 Februari ini, bagi memberi laluan kepada sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan minggu hadapan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here