
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya selama sembilan jam di Jalan Tunku Hassan di Seremban, pada Selasa.
Wanita berusia 35 tahun itu yang bekerja di sebuah bank di kawasan itu hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta sebaik mahu pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Azahar Abdul Rahim berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam jam 6.15 petang.
“Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa didapati tidak sedarkan diri dalam Proton Saga.
“Mangsa dipercayai ditinggalkan sejak jam 8 pagi yang mana ibu mangsa terlupa untuk menghantarnya ke rumah pengasuh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, perkara itu hanya disedari ibunya jam 5 petang setelah selesai waktu bekerja dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar di sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 serta ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN

