Utama Berita Automotif Kenderaan usia lebih 20 tahun layak terima rebat tukar kereta baharu

Kenderaan usia lebih 20 tahun layak terima rebat tukar kereta baharu

187
Gambar hiasan

Kementerian Pengangkutan menyasarkan seramai 5,000 pemilik kenderaan berusia 20 tahun menyertai Program Geran Padanan Bagi Penggantian Kenderaan lama yang dilancarkan pada Selasa. 

Menterinya Anthony Loke berkata, menerusi program itu pemilik kenderaan jenama tempatan boleh menggantikan kenderaan lama mereka dengan yang baharu yang lebih moden, selamat, cekap tenaga dan mesra alam.

Katanya, di bawah program ini penerima juga layak menikmati geran padanan sehingga RM2,000 yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan.

“Bermula Rabu mereka boleh ke showroom (bilik pameran) terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Dengan peruntukan RM10 juta, kita menyasarkan minimum 5,000 kenderaan akan terlibat menerusi program ini.

“Itu sebagai permulaan, sekiranya program ini berjaya mendapat sambutan, kita akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan untuk yakinkan bahawa program ini memberi impak besar kepada ekonomi dan alam sekitar,” katanya. 

Beliau berkata, program itu turut diperkukuh melalui penggunaan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (e-DeREG) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi proses pembatalan pendaftaran secara digital.

“Kenderaan lama yang diserahkan di bawah program ini akan dilupuskan secara sah melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) iaitu pusat pelupusan berlesen bagi memastikan proses pelupusan secara terkawal, profesional dan mematuhi piawaian alam sekitar.

“Melalui mekanisme AATF ini, dapat mengelakkan penyalahgunaan identiti dan nombor pendaftaran, memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya, menguruskan bahan buangan dan komponen kitar semula secara selamat dan menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran,” katanya.

Loke berkata, ini adalah program serampang dua mata untuk rakyat memiliki kereta dengan tawaran rebat dan menyelesaikan isu kenderaan lama.

“Melalui pendekatan ini, kita harap dapat menggalakkan dan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa kenderaan lama mereka boleh dilupuskan dengan cara teratur dengan mendapatkan semula bayaran tertentu,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here