Mahu kereta manual? Ferrari sarankan beli kereta klasik terpakai

39

Jika anda perasan, kebanyakan kereta-kereta Ferrari masa kini sudah dilengkapi dengan transmisi yang lebih moden dan cekap.

Kurangnya permintaan terhadap model bertransmisi manual merupakan salah satu sebab kenapa jenama Prancing Horse itu tidak lagi menawarkan transmisi tersebut sejak berakhirnya model California 2012.

Namun, masih terdapat pihak dan peminat yang mahukan Ferrari menghasilkan sebuah kereta manual.

Jadi, apa penyelesaian yang Ferrari sarankan? “Beli sebuah kereta terpakai”.

Dalam temubual bersama majalah Evo, ketua pemasaran dan komersial Ferrari Enrico Galliera menjelaskan, “kami kini mempunyai barisan kereta klasik bertransmisi manual, dan kami galakkan pelanggan untuk meneroka kecantikan memandu sebuah kereta klasik.

“Kami menawarkan program Corsa Piloti dengan kereta klasik, kerana ramai orang tidak lagi tahu cara memandu kereta manual. Ia merupakan satu pengalaman penting yang dapat kami tawarkan menerusi kereta klasik kami.

Ferrari juga masih belum menolak sepenuhnya cadangan untuk menghidupkan kembali model manual untuk sebilangan kecil pelanggannya.

Awal tahun lalu, ketua pembangunan produk Gianmaria Fulgenzi berkata, tetapan tiga pedal adalah lebih masuk akal untuk model tertinggi dalam siri Icona, dan terdapat permintaan daripada beberapa pihak yang mahukan produk khas tersebut.

Namun, keengganan Ferrari untuk menghidupkan semula model manual ada asasnya.

Ini kerana syarikat itu kini mempunyai pesanan tertunggak sehingga tahun 2027.

Tambahan pula, kereta yang semakin canggih dan sarat dengan pelbagai ciri keselamatan, serta faktor regulasi emisi membuatkan model bertransmisi manual semakin mahal untuk dibangunkan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here