
Ferrari secara rasmi telah memperkenalkan Ferrari Amalfi Spider, sebuah jentera sport bumbung terbuka (spider) 2+ baharu yang dilengkapi enjin turbo berkembar V8 posisi pertengahan hadapan.
Direka untuk memberi pengalaman pemanduan dinamik tanpa mengabaikan aspek keselesaan atau praktikaliti harian, Amalfi Spider meletakkan penanda aras baharu bagi gaya hidup prestasi tinggi Ferrari.
Dihasilkan oleh Ferrari Design Studio di bawah Flavio Manzoni, Amalfi Spider mengekalkan perkadaran siluet yang elegan dan lancar seperti versi coupe, sama ada ketika bumbung dibuka atau ditutup.

Pendekatan reka bentuk jentera ini adalah berkonsepkan minimalis yang dibina berasaskan permukaan kemas dan berstruktur.
Sempena pelancaran model ini, Ferrari turut memperkenalkan warna luaran eksklusif baharu, iaitu Rosso Tramonto.

Rona merah pekat ini menampilkan ton asas jingga halus diispirasikan keindahan cahaya matahari terbenam di Pantai Amalfi.
Bagi memastikan kesinambungan gaya harmoni, fabrik teknikal dari bumbung lembut boleh dikemaskan lagi ke bahagian dalam kabin, merangkumi komponen seperti :
- penutup tonneau
- panel pintu
- penyandar tempat duduk.

Bumbung lembut fabrik automatik ini boleh dibuka sepenuhnya dalam masa 13.5 saat sahaja dan boleh dikendalikan ketika kenderaan bergerak pada kelajuan sehingga 60 km/j.
Dibina dengan struktur sandwic lima lapisan, ia menawarkan penebat akustik dan terma yang setanding dengan bumbung keras boleh laras (retractable hardtop).
Apabila dilipat sepenuhnya melalui mekanisma kinematik Z-fold, ketebalan bumbung tersebut hanya berukuran 220 mm, sekali gus mengekalkan kapasiti ruang kargo terbaik dalam kelasnya sebanyak 172 liter (dan meningkat kepada 255 liter apabila bumbung ditutup).
Amalfi Spider dikuasakan evolusi terkini enjin turbo berkembar V8 bersesaran 3855-cc keluaran Ferrari yang menghasilkan 640 hp pada 7,500 rpm dan tork setinggi 760 Nm.

Kuasa disalurkan melalui ransmisi klac kembar lapan kelajuan (F1 DCT) yang dioptimumkan dengan konfigurasi takungan kering (dry-sump) bagi meningkatkan kecekapan keseluruhan.
Antara keupayaan prestasi utama jentera ini termasuk :
- Kelajuan Maksimum: 320 km/j
- Pecutan 0–100 km/j: 3.3 saat
- Pecutan 0–200 km/j: 9.4 saat
Respons enjin kini menjadi lebih pantas hasil daripada sistem pengurusan kelajuan pengecas turbo bebas sehingga 171,000 rpm, aci sesondol yang lebih ringan, serta pengenalan minyak pelincir kelikatan rendah yang mengurangkan rintangan sejuk sebanyak 30 peratus.
Ciri aerodinamik jentera ini merangkumi :
- penjana pusaran (vortex generators) pada bahagian bawah badan kenderaan
- peresap hadapan serta sayap belakang dinamik yang dilaraskan secara automatik melalui tiga konfigurasi – Rintangan Rendah, Daya Tekan Sederhana, dan Daya Tekan Tinggi

Untuk meningkatkan keselesaan pemanduan bumbung terbuka, penghadang angin bersepadu pada penyandar tempat duduk belakang boleh diaktifkan dengan hanya menekan butang pada kelajuan sehingga 170 km/j, sekali gus mengurangkan gelora udara dan bunyi bising di sekitar kepala penumpang.
Seni bina elektronik jentera ini menyelaraskan teknologi :
- brake-by-wire
- Kawalan Gelinciran Sisi (SSC) 6.1
- pengawal ABS Evo yang dipacu sensor 6D bagi menentukan kadar gelinciran roda optimum
Sistem Stereng Kuasa Elektrik (EPS) yang dipertingkatkan juga mampu menganggar tahap cengkaman permukaan 10 peratus lebih pantas berbanding model sebelum ini.

Pemandu boleh memilih lima tetapan pemanduan melalui butang Manettino pada stereng: ‘Wet’, ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Race’, dan ‘ESC-Off’.
Ruang dalaman dengan reka letak dwi-kokpit ini dilengkapi :
- kluster instrumen digital 15.6″
- paparan skrin sentuh tengah 10.25″
- skrin paparan penumpang berukuran 8.8″

Sistem bantuan pemandu generasi baharu (ADAS) yang didatangkan secara standard termasuk Kawalan Pelayaran Adaptif, Brek Kecemasan Automatik, dan Bantuan Kekal Lorong.
Amalfi Spider dilengkapi dengan rim berukuran 20″ dipadankan dengan tayar khusus hasil kerjasama eksklusif bersama Pirelli (P ZERO), Goodyear (Eagle F1 SuperSport), dan Bridgestone (Potenza Sport).
Sebagai komitmen terhadap prestasi jangka panjang, Ferrari menawarkan program Genuine Maintenance selama tujuh tahun secara standard, yang merangkumi servis berjadual pada selang masa setiap 20,000 km atau setahun sekali melalui Rangkaian Pengedar Rasmi global mereka.































