
Siapa sangka, kontroversi yang melanda pasca pelancaran Luce EV tidak membuatkan pelanggan Ferrari terus menjauhkan diri daripada jenama tersebut.
Realitinya, golongan ini terus memenuhi buku tempahan Ferrari sehinggakan anda hanya boleh menempah model baharu seawal tahun 2028!
Ferrari menyifatkan keadaan ini sebagai satu perkara positif, dengan permintaan yang sihat daripada semua pasaran untuk model-model baharu, termasuklah model 12Cilindri Manuale yang baru diperkenalkan dan habis terjual dalam masa yang sama.
Menurut syarikat tersebut, beberapa model seperti Amalfi, 849 Testarossa dan 296 Speciale/Speciale A sedang memasuki fasa produksi menggantikan model-model yang menghampiri penghujung kitaran produksi seperti 296 GTS, Roma Spider dan SF90 XX/SF90 XX Spider.
Model flagship F80 juga sedang aktif diedarkan dan besar kemungkinan ia bakal disusuli dengan varian open-top Aperta yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Selain itu, Ferrari telah memperkenalkan Purosangue dengan pakej Handling Speciale.
Namun setakat ini, Ferrari masih berdiam diri tentang status model Luce, hanya menyatakan model tersebut sebagai satu penanda aras dalam sejarah dan tambahan kepada portfolio produk.
Walaupun buku tempatan semakin tebal, jumlah penghantaran sedikit menurun hingga akhir Jun berbanding tempoh separuh pertama tahun lalu.
Sepanjang H1 2026, Ferrari menghantar sebanyak 6,802 unit, kurang 285 unit berbanding tempoh H1 2025.
Ferrari turut menjanjikan lima model baharu untuk tahun ini. Selepas pelancaran Amalfi Spider, Luce dan 12Cilindri Manuale, berkemungkinan besar dua lagi model baharu akan menyusul iaitu 296 Challenge Stradale dan F80 Aperta.
CEO-nya, Benedetto Vigna berbangga kerana Ferrari kini mempunyai barisan model yang paling lengkap dalam sejarah melihatkan kepada kehadiran Purosangue dan Luce.


































