
Laman Bring A Trailer menyenaraikan sebuah skuter Vespa unik yang mahu dilepaskan kepada pihak yang berminat, terutama peminat superstar terkenal Justin Bieber.
Model ini muncul pada tahun 2022 sebagai hasil kolaborasi antara Vespa dengan Justin Bieber dengan menggunakan asas daripada Sprint Sport 150.
Tidak seperti Vespa lain yang hadir dengan warna terang dan berani, edisi Bieber ini tampil lebih minimalis dengan warna putih.
Namun, ia tetap hadir dengan sentuhan gaya artis tersebut termasuklah grafik ghosted flames di bahagian sisi, diikuti dengan tayar CST yang mempunyai dinding putih untuk aura retro yang lebih menonjol.
Aksen putih turut diselitkan pada bahagian ekzos dan komponen suspensi.
Vespa Sprint Sport 150 dikuasakan enjin silinder tunggal 155 cc yang mampu menghasilkan kuasa 12.5 hp dan 12.2 Nm.
Tidak dinyatakan dengan jelas berapa banyak unit edisi istimewa Justin Bieber ini dihasilkan, tetapi laman web Vespa masih lagi menyenaraikan model ini sebagai model produksi biasa dengan harga jualan bermula sekitar US$6,594 (RM26,754).
Sekiranya anda berminat, Vespa edisi Bieber dengan jarak perbatuan 135 km ini boleh dibeli menerusi laman Bring A Trailer dengan harga US$4,800 (RM19,609).


































