
Acara Monterey Car Week menyaksikan sebuah Ferrari Luce produksi pertama dilelong dengan nilai anggaran sekitar US$1.1 juta (RM4.47 juta).
Namun setelah tukul dijatuhkan, angka tersebut melonjak kepada US$40 juta (RM162 juta)!
Pemiliknya ialah seorang jutawan optometri yang bernama Dr. Herbert Wertheim berusia 87 tahun yang juga digelar oleh Forbes sebagai pelabur terhebat yang tidak pernah anda dengar.
Beliau dilahirkan di Philadelphia pada tahun 1939 dan syarikatnya Brain Power Inc menjadi pengeluar tinta optikal terbesar di dunia dengan memegang lebih 100 paten.
Beliau juga turut menjadi pemegang saham di dalam beberapa syarikat besar seperti Apple, Microsoft dan kini menjadi pemegang individu terbesar di dalam Heico.
Hasil lelongan bernilai US$40 juta itu akan disalurkan kepada badan amal The Ferrari Foundation.
Ini bukanlah kali pertama Wertheim membeli sebuah Ferrari yang mahal.
Tahun lalu di Monterey, beliau membeli sebuah Daytona SP3 one-off pada harga US$26 juta.
Ferrari Luce yang dibida ini menampilkan warna khas putih mutiara Madreperla Semi-Gloss yang memantulkan cahaya hijau dan ungu bergantung kepada sudut dan pencahayaan, diikuti dengan rim putih sepadan.
Bahagian dalaman pula menggunakan balutan kulit Le Mans metallic daripada kulit Swiss terpilih berwarna putih yang dihasilkan menerusi program Ferrari Tailor Made.

































