
Model elektrik pertama dari Maranello, Ferrari Luce EV dilaporkan habis terjual dalam beberapa jam sahaja selepas tempahan dibuka di pasaran China.
Ini merupakan satu perkembangan yang cukup menarik memandangkan model EV ini sebenarnya menerima sambutan yang tidak memberangsangkan ketika didedahkan hujung Mei lalu.
Rekaan oleh bekas pereka Apple, Jony Ive, menjadi bahan jenaka global dan tular sebagai meme antarabangsa. Malah kunjungan ke Vatican pun tak cukup untuk “memberkati” liputan media tentang Luce.
Biarpun pasaran China mengalami kemerosotan jualan kenderaan baharu, ia tidak menghalang pelanggan setia Ferrari untuk terus berebut mendapatkan model grand tourer elektrik ini.
Lebih menarik, harga Luce di China juga sedikit lebih rendah berbanding Eropah, iaitu sekitar 4 juta yuan (RM2.39 juta), lebih murah berbanding harga jualan di Eropah sekitar £474,000 (RM2.56 juta).
Untuk pasaran tersebut, sebanyak 88 unit diperuntukkan, namun wakil Ferrari memaklumkan model Luce masih boleh ditempah baharu untuk mereka yang masih berminat sebelum pelancaran rasmi dibuat.
Ferrari buat masa ini masih belum mengumumkan angka produksi keseluruhan untuk model Luce EV, namun anggaran awal menunjukkan antara 2,000 hingga 4,000 unit.
Yang pasti, Ferrari sudah pun habis menjual semua unit yang akan dibina pada tahun 2027.
Ferrari Luce EV merupakan sebuah grand tourer lima tempat duduk yang mampu menghasilkan 1,035 hp daripada empat motor elektrik.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.5 saat dengan kelajuan maksimum melebihi 310 km/j.






