
Sekiranya anda menjadi mangsa kecurian motosikal, mungkin boleh dapatkan pertolongan daripada Batman Mexico.
Menarik dan unik Batman ini kerana ‘superhero’ ini tidak bergantung pada Batmobile atau gajet bernilai jutaan ringgit.
Sebaliknya, Batman Mexico hanya bersenjatakan pita pelekat industri dan pen marker untuk menangkap suspek pencuri motosikal.
Di Lagos de Moreno, seorang insan misteri didakwa memburu pencuri motosikal, sebelum meninggalkan mereka dalam keadaan memalukan — diikat pada tiang lampu bersama motosikal yang mereka kononnya cuba curi.
Kebanyakan “suspek” ditemui berhampiran motosikal yang dikatakan dicuri, siap dengan tulisan “ratero” (pencuri) di dahi, lengkap dengan misai kartun dan lukisan misai kucing.
Dalam tempoh kira-kira 10 hari, sekurang-kurangnya lima individu telah ditemui terikat pada tiang jalan. Motosikal yang berjaya ditemui pula diletakkan betul-betul di depan mereka, seolah-olah menjadi bukti jenayah yang didakwa dilakukan.
Di media sosial, lelaki bertopeng itu segera digelar “Batman Lagos de Moreno”, dengan ramai memuji tindakan tersebut kerana “melakukan apa yang pihak berkuasa gagal lakukan” ketika kes kecurian motosikal semakin meningkat.
Namun pihak berkuasa tidak begitu teruja.
Polis kini membuka siasatan untuk mengenal pasti lelaki misteri itu. Mereka mengesahkan bahawa individu yang ditemui diikat pada tiang lampu dianggap sebagai mangsa serangan, tidak kira sama ada mereka disyaki mencuri atau tidak.
Setiausaha Keselamatan Negeri, Juan Pablo Hernández, berkata dua kenderaan telah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan insiden tersebut dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pelakunya.
Tambahan pula, pihak berkuasa tempatan mengesahkan bahawa beberapa motosikal yang ditemui di lokasi memang pernah dilaporkan hilang. Namun itu tidak membuktikan semua individu yang “ditangkap” insan misteri tersebut benar-benar bersalah.
Buat masa ini, ‘Dark Knight’ versi Mexico masih bebas, dan polis terus memburu lelaki yang menyamar sebagai superhero itu.
View this post on Instagram


































