Utama Berita Automotif Ferrari 849 Testarossa masuk, SF90 Stradale keluar, harga bermula RM5.2 juta

Ferrari 849 Testarossa masuk, SF90 Stradale keluar, harga bermula RM5.2 juta

6

Ferrari secara rasmi memperkenalkan model baharu 849 Testarossa bagi mengambil alih kedudukan SF90 Stradale sebagai jentera prestasi tertinggi dalam rangkaian jenama ikonik Itali itu.

Nama Testarossa kembali digunakan sebagai penghormatan kepada antara model paling sentimental bagi Ferrari.

Supercar hibrid plug-in (PHEV) itu menawarkan kuasa keseluruhan 1,050hp menerusi gabungan enjin V8 twin-turbo dan tiga motor elektrik.

Harga asas tanpa cukai bagi pasaran tempatan bermula dari RM2,188,000 dan RM2,368,000 bagi versi 849 Testarossa Spider.

Harga selepas cukai masing-masing RM5.2 juta dan RM5.7 juta.

Nyawa utama 849 Testarossa adalah enjin V8 4.0 liter twin-turbo yang direka semula sepenuhnya dan menghasilkan 830hp dengan tork maksimum 842Nm.

Kuasa tambahan melalui tiga motor elektrik menjana 220hp, menjadikan 849 Testarossa sebagai jentera Ferrari paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini.

Sistem kuasa itu dipadankan dengan transmisi klac berkembar F1 lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda (AWD) dilengkapi teknologi torque vectoring.

Ferrari 849 Testarossa dikatakan mampu memecut dari 0-100kmj dalam masa kurang 2.3 saat, 0-200kmj dalam 6.35 saat dan mencecah kelajuan maksimum melebihi 330kmj.

Konfigurasi PHEV menggunakan bateri lithium-ion 7.45kWh membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 25km menerusi mod eDrive.

Sistem itu turut mempunyai empat mod pemanduan elektrik iaitu eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify, selain menerima teknologi MGU-K yang diinspirasikan daripada pengalaman Ferrari dalam Formula Satu (F1).

Ferrari turut memberikan tumpuan utama kepada aspek aerodinamik dengan mengambil inspirasi dari model perlumbaan legenda seperti 512 S, 512 M dan FXX-K.

Untuk itu, 849 Testarossa mampu menghasilkan downforce sehingga 415kg pada kelajuan 250kmj, iaitu peningkatan 25kg berbanding SF90 Stradale, selain kecekapan penyejukan yang meningkat 15 peratus.

849 Testarossa menampilkan reka bentuk lebih tajam dan futuristik dengan elemen yang diinspirasikan dari kereta Sports Prototype era 1970-an.

Bahagian belakang menggunakan rekaan twin-tail dari Ferrari 512 S, manakala saluran udara sisi bukan hanya elemen gaya tetapi memainkan peranan penting dalam pengurusan aliran udara.

Ruang dalaman pula menggabungkan konsep kokpit kereta lumba dengan keselesaan sebuah berlinetta moden, termasuk penggunaan panel instrumen digital, kawalan mekanikal pada stereng dan sistem infotainmen terkini.

Ferrari mengekalkan butang ikonik Engine Start pada stereng selain menyediakan sokongan Apple CarPlay, Android Auto serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

849 Testarossa menerima sistem kawalan dinamik FIVE (Ferrari Integrated Vehicle Estimator) yang berfungsi sebagai kembar digital untuk memantau tingkah laku kenderaan secara masa nyata.

Sistem ABS Evo generasi baharu, cakera brek lebih besar serta talaan suspensi khusus turut membantu meningkatkan kestabilan, keupayaan membrek dan pengendalian ketika dipandu pada had maksimum.

Bagi pelanggan yang ingin prestasi lebih ekstrem, Ferrari menawarkan pakej Assetto Fiorano yang mengurangkan berat sehingga 30kg menerusi penggunaan komponen gentian karbon dan titanium.

Pakej itu menampilkan talaan suspensi lebih agresif, rim karbon 20 inci, aerodinamik tambahan dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang dibangunkan khusus untuk kegunaan berprestasi tinggi.

Seperti model Ferrari lain, 849 Testarossa didatangkan bersama program penyelenggaraan percuma selama tujuh tahun merangkumi servis berkala serta penggunaan alat ganti tulen.

Ferrari juga menawarkan pakej jaminan tambahan khusus untuk model hibrid yang merangkumi komponen sistem elektrik dan penggantian bateri voltan tinggi mengikut tempoh perlindungan dipilih pelanggan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here