Utama Berita Automotif Ferrari CZ26 – Dibuat sebuah sahaja untuk pelanggan di Amerika Syarikat!

Ferrari CZ26 – Dibuat sebuah sahaja untuk pelanggan di Amerika Syarikat!

1

Ferrari memperkenalkan CZ26, model one-off terbaharu di bawah program Special Projects yang dibangunkan khas untuk seorang pelanggan dari Amerika Syarikat.

Model eksklusif itu direka oleh Ferrari Design Studio di bawah pimpinan Flavio Manzoni, dengan mengambil asas mekanikal SF90 Stradale.

CZ26 membawa tafsiran tersendiri terhadap konsep supersport berlinetta, dengan bahasa reka bentuk yang ringkas, berorientasikan teknologi dan futuristik.

4.0L V8 hibrid plug-in

Ferrari CZ26 menggunakan enjin V8 90° turbo berkembar berkapasiti 3,990 cc dengan sistem pelinciran dry sump.

Enjin pembakaran dalaman itu menghasilkan 797 ps pada 7,900 rpm dan 804 Nm pada 6,250 rpm, dengan putaran maksimum sehingga 8,000 rpm.

Sistem elektrifikasi pula mempunyai kuasa maksimum 162 kW, bersama bateri berkapasiti 7.9 kWj yang membolehkan kereta dipandu sejauh 25 km menggunakan kuasa elektrik.

Kuasa disalurkan menerusi kotak gear F1 DCT lapan kelajuan, dengan sistem kawalan elektronik termasuk eSSC 1.0, E4WD, SCM, FDE 2.0, EPS dan ABS Evo.

Dengan spesifikasi tersebut, CZ26 mampu memecut 0-100 km/j dalam 2.5 saat dan 0-200 km/j dalam 6.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 328 km/j.

Jarak membrek dari 100-0 km/j pula kurang daripada 29.5 meter.

Dari segi dimensi, CZ26 berukuran 4,762 mm panjang, 2,005 mm lebar dan 1,189 mm tinggi, dengan jarak roda 2,650 mm.

Agihan beratnya ialah 45 peratus di hadapan dan 55 peratus di belakang.

Reka bentuk baharu dengan identiti tersendiri

Ferrari CZ26 menampilkan gayaan dua-kotak (two-box silhouette) dengan garisan mendatar yang jelas, memberikan imej lebih rendah dan lebar di atas jalan.

Bahagian tengah badan direka seolah-olah kapsul tunggal yang disokong oleh empat arka roda dengan gaya ala berotot.

Keseluruhan komposisi reka bentuk bermula dari rupa hadapan, seolah-olah badan kereta dibentuk daripada satu elemen tunggal yang memanjang secara semula jadi.

Rekaan itu diakhiri dengan bahagian belakang yang dipotong kemas (truncated rear end), dibingkaikan oleh bentuk geometri yang mengulangi reka bentuk pada bahagian hadapan.

Di hadapan, gril penuh merentasi lebar badan menggabungkan lampu ultra nipis yang disorokkan, saluran udara brek, sensor serta pelbagai komponen teknikal dalam satu elemen reka bentuk.

Ferrari turut memperkenalkan rekaan muncung hadapan dengan bibir menegak yang baharu, memberikan penampilan lebih agresif dan berkarisma.

Sementara itu, lampu belakang terapung, ekor pendek serta diffuser mendatar yang besar menjadikan bahagian belakang kelihatan lebih lebar, ringan dan kemas.

Keseluruhan reka bentuk badan menampilkan permukaan yang kemas tanpa elemen berlebihan.

Komponen berfungsi seperti saluran udara penyejukan, diffuser, lampu belakang serta kemasan gentian karbon pula disepadukan terus ke dalam struktur badan.

Menurut Ferrari, pendekatan tersebut diinspirasikan daripada reka bentuk industri Itali era 1970-an yang diterjemahkan semula dalam bahasa rekaan moden.

Warna khas Argento Veloce

Ferrari memilih kemasan eksklusif Argento Veloce, iaitu warna perak dengan kesan seperti cecair yang menyerlahkan bentuk badan serta ketepatan setiap garisan.

Kemasan itu dipadankan bersama riasan Rosso Lampante pada komponen berfungsi bagi menghasilkan kontras yang lebih menyerlah.

Elemen gentian karbon berpigmen pula membantu menonjolkan lagi kerumitan bentuk badan.

Rim yang direka khas untuk CZ26 menggunakan gabungan kemasan hitam berkilat bersama kemasan shot-peened.

Muncung ekzos titanium dikekalkan dalam kemasan semula jadi bagi menyerlahkan karakter teknikal model ini.

Kabin bertemakan teknologi

Tema futuristik diteruskan ke ruang kabin menerusi penggunaan fabrik teknikal berwarna hitam sebagai material utama.

Tempat duduk menerima sisipan yang dihasilkan menggunakan teknologi cetakan aditif (additive manufacturing) dengan corak eksklusif untuk CZ26.

Kemasan Rosso Lampante di bahagian dalaman dipadankan dengan logo sulaman CZ26.

Fabungan fabrik kusama bersama gentian karbon satin serta gentian karbon berkilat yang mengandungi filamen logam menghasilkan suasana kabin yang lebih eksklusif.

Panel pintu serta bahagian atas papan pemuka pula menerima kemasan mengikut warna badan.

Aerodinamik baharu

Ferrari turut mereka semula keseluruhan sistem aerodinamik bagi meningkatkan prestasi.

Di bahagian hadapan, sistem penyejukan diubah dengan menyusun semula kedudukan radiator utama serta memperkenalkan saluran bypass khusus bagi meningkatkan kecekapan penyejukan selain menambah daya tekan (downforce) pada gandar hadapan.

Bahagian bawah badan dan sistem penjana pusaran udara (vortex generator) turut direka semula bagi mengoptimumkan keseimbangan aerodinamik.

Bucu bampar hadapan dilengkapi sistem air curtain yang mengawal aliran udara di sekitar tayar hadapan bagi mengurangkan seretan.

Di belakang, Ferrari memasang spoiler atas bersaiz besar bersama difuser baharu yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan daya tekan tanpa menjejaskan kecekapan aerodinamik.

Penutup enjin turut menerima reka bentuk baharu dengan liang pengudaraan khas bagi memastikan pelesapan haba enjin lebih berkesan dalam semua keadaan pemanduan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here