
Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan Mercedes-Benz GLC serba baharu dengan teknologi EQ dan S-Class versi kemas kini akan tampil buat julung kali di pasaran tempatan dalam masa terdekat.
GLC elektrik dijangka berharga antara RM370,000 hingga RM400,000, manakala tempahan awal untuk S-Class versi kemas kini juga sudah dibuka.
GLC Dengan EQ Technology : Pewaris Kepada EQC
Sebagai pewaris kepada EQC, GLC baharu ini berukuran 4,845 mm panjang, 1,913 mm lebar dan 1,644 mm tinggi, dengan jarak roda 2,972 mm. Saiznya juga lebih besar berbanding model terdahulu.

Dengan identiti rekaan terkini Mercedes-Benz, GLC dilengkapi Iconic Grille baharu menampilkan 942 grafik piksel bercahaya yang membingkai logo Bintang Mercedes-Benz bercahaya, diapit lampu hadapan yang turut menempatkan logo Bintang di dalamnya.
Di bahagian dalaman, GLC ditawarkan dengan MBUX Hyperscreen generasi baharu.
Paparan sepanjang 39.1 inci ini merentangi sepenuhnya dari sisi pemandu ke sisi penumpang.

Paparan luas ini dikuasakan oleh MB.OS superbrain, iaitu sistem operasi berasaskan AI yang mampu mempelajari dan menyesuaikan diri dengan keperluan pemandu.
Bagaimanapun ketersediaan opsyen ini bagi pasaran Malaysia masih tertakluk kepada pengesahan.
Semasa pelancaran, GLC ditawarkan dalam varian 400 4Matic. Ia menghasilkan kuasa 489 hp (360 kW)* dengan pecutan 0-100 km/j dalam 4.3 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

Menggunakan bateri NMC 94 kWh, ia menawarkan jarak pemanduan sehingga 713 km (WLTP).
Dengan nilai seni bina 800V, GLC menyokong pengecasan pantas DC sehingga 300 kW, membolehkan penambahan jarak sehingga 300 km dalam masa 10 minit sahaja.
Pengecasan AC standard adalah 11 kW dan boleh ditingkatkan secara pilihan kepada 22 kW.
S-Class Kemas Kini : Lebih 50 peratus Komponen Baharu
Bagi model flagship S-Class versi kemas kini menerima lebih 2,700 komponen baharu yang merangkumi lebih 50 peratus daripada sedan flagship tersebut.

Pembukaan bagi tempahan awal tempatan dibuat beberapa bulan selepas tiga unit S-Class dipamerkan di Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah dunia 140 Years, 140 Places jenama itu.
Jajaran enjin S-Class turut dikemaskini. Varian S580 4Matic dikuasakan enjin V8 biturbo 4.0-liter dengan aci engkol satah rata, menghasilkan 537 hp dan 750 Nm tork.
Untuk varian S450 dan S500, enjin petrol 6-silinder 3.0-liter kini menerima aci sesondol pengambilan baharu dan liang pengambilan yang dioptimumkan.
Tork pula ditingkatkan kepada 600 Nm, dengan fungsi overtorque memberi lonjakan sementara sehingga 640 Nm.

Varian hibrid plug-in S450e dan S580e pula dipadankan enjin yang dinaik taraf bersama motor elektrik lebih berkuasa, menawarkan jarak pemanduan elektrik sahaja sekitar 100 km.
Output sistem juga dinaik taraf sebanyak 75 hp (55 kW) berbanding generasi sebelumnya.
Semua model kini dilengkapi tangki bahan api bertekanan sebagai standard bagi mengekalkan kecekapan semasa operasi elektrik berpanjangan.
Bagi varian diesel S350 d dan S450 d, ia menggunakan enjin 6-silinder sebaris 3.0-liter OM 656 Evo baharu.
Ia adalah enjin pertama dalam segmen pengeluaran siri yang menggunakan penukar pemangkin dipanaskan secara elektrik, membolehkan sistem rawatan ekzos mencapai suhu optimum dengan lebih cepat.

Penambahbaikan pada sistem pengudaraan ruang engkol dan sistem penyejukan turut dilakukan bagi meningkatkan ketahanan jangka panjang.
Tanpa mengira jenis bahan api, setiap enjin dalam rangkaian S-Class kini dilengkapi penjana pemula bersepadu (ISG) 23 hp – 17 kW.
Sistem 48-volt ini memberi tambahan tork 250 Nm pada putaran rendah dan membolehkan fungsi gelincir dengan enjin dimatikan sepenuhnya ketika pemanduan secara santai.





























