Utama Berita Automotif Volkswagen Tayron R-Line masuk pasaran Malaysia, harga bermula RM238,574

Volkswagen Tayron R-Line masuk pasaran Malaysia, harga bermula RM238,574

3

Volkswagen Passenger Cars Malaysia melancarkan varian tertinggi SUV 7-tempat duduk, Tayron R-Line di pasaran tempatan.

Model ini menyertai varian Elegance yang diperkenalkan bulan lalu.

Varian R-Line yang berfokuskan prestasi ini menawarkan pengendalian lebih sporty dan kehadiran yang lebih menyerlah di jalan raya, khusus buat pembeli Malaysia yang inginkan lebih daripada kepraktisan harian.

Harga Dan Pakej Waranti

Volkswagen Tayron R-Line ditawarkan pada harga RM238,574 atas jalan tanpa insurans.

Ia didatangkan dengan waranti standard 2 tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Bagi pelanggan yang memilih Pakej Jaminan Volkswagen (secara pilihan) waranti akan dilanjutkan kepada 5 tahun dan turut merangkumi pakej penyelenggaraan 5 tahun/75,000 km. Dengan pakej ini, harga meningkat kepada RM250,074.

Rekaan Eksterior Sporty Dan Teknologi Lampu Termaju

SUV ini menonjol dengan pakej rekaan R-Line pada bampar hadapan, gril radiator dan bampar belakang.

Ia turut dilengkapi lampu hadapan IQ.LIGHT HD Matrix dengan Kawalan Lampu Tinggi Termaju dan lampu isyarat membelok dinamik.

Tayron R-Line dipadankan rim aloi York Black 20-inci bersama tayar bersaiz 255/40 R20.

Turut disertakan logo Volkswagen bercahaya di bahagian hadapan dan belakang serta lampu belakang LED 3D.

Enjin 2.0L TSI Berkuasa 265 PS

Di bawah bonet, Tayron R-Line dikuasakan enjin 2.0-liter TSI turbocharged yang menghasilkan kuasa maksimum 265 PS dan tork puncak 400 Nm.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui transmisi DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4MOTION. Dengan gabungan ini, SUV berkenaan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat.

Model ini turut dilengkapi Volkswagen Dynamic Chassis Control Pro yang secara automatik melaras sistem suspensi mengikut keadaan jalan bagi menyeimbangkan keselesaan, kestabilan dan keyakinan pemanduan.

Kemewahan Dan Keselamatan Di Bahagian Dalaman

Bahagian dalaman menawarkan pelbagai ciri teknologi termaju termasuk :

  • Sistem infotainmen Discover Pro Max 15-inci
  • Paparan Head-up Display
  • Kokpit Digital Volkswagen Pro 10.25-inci
  • Pembantu Suara IDA
  • Apple CarPlay & Android Auto
  • Dua pad pengecasan tanpa wayar
  • pedal sport
  • sistem audio premium Harman Kardon 10-pembesar suara
  • Kawalan iklim automatik 3-zon
  • tempat duduk larasan elektrik
  • cermin pandang belakang auto malap
  • Upholsteri kulit Varenna
  • lampu ambien 30-warna
  • 9 beg udara
  • pakej Volkswagen IQ.Drive ADAS untuk ciri keselamatan termaju

Sesuai Untuk Keluarga Moden Yang Inginkan Prestasi

R-Line direka untuk pemandu dan keluarga yang keperluannya terus berkembang, tetapi masih inginkan kenderaan yang membawa keterujaan dalam setiap perjalanan,” kata Renate Noessler, Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia.

“Ia sesuai digunakan dalam pelbagai situasi kehidupan moden, sama ada pemanduan harian, perancangan keluarga mahupun percutian hujung minggu, sambil mengekalkan keyakinan, prestasi dan kehadiran yang menjadi ciri varian Tayron paling dinamik daripada Volkswagen.

“Bagi pelanggan yang mahukan kepraktisan tanpa mengorbankan keseronokan memandu, R-Line memenuhi setiap aspek tersebut,” tambahnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here