
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) rasmi memperkenalkan Volkswagen Tayron serba baharu ke pasaran tempatan menerusi dua pilihan varian :
- Tayron Elegance : RM199,990 (termasuk VAP)
- Tayron R-Line : anggaran RM259,000 – RM269,000 (hanya pratonton)
Di samping itu, seramai 69 pemilik pertama Tayron akan menikmati pakej pengenalan istimewa merangkumi penyelenggaraan percuma selama 7 tahun, perlindungan kemalangan diri dan kunci kereta secara percuma, serta peluang memenangi percutian mewah selama 3 hari 2 malam sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
SUV tujuh tempat duduk itu merupakan pemasangan tempatan (CKD) di kemudahan Volkswagen Pekan, Pahang. Varian Elegance dipadankan dengan enjin hibrid ringan eTSI 1.5 liter berkuasa 150PS dan tork 250Nm bersama kotak gear 7-kelajuan DSG.
Ia kemudian dilengkapi sistem pemula-penjana dipacu tali sawat 48 volt dan Pengurusan Silinder Aktif (ACTplus).
Melalui ACTplus, dua daripada empat silinder enjin akan dinyahaktifkan secara automatik apabila diperlukan terutamanya pada beban dan kelajuan rendah hingga sederhana.
Kuasa tambahan daripada sistem 48 volt bertindak sebagai penggalak untuk mengoptimumkan pecutan awal enjin eTSI.
Manakala versi R-Line pula mendapat enjin 2.0 liter TSI turbo yang menghasilkan kuasa 265PS dan tork 400Nm. Ia kemudian dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD) 4MOTION dan kotak gear 7-kelajuan DSG.
Selain itu, kedua-dua varian dilengkapi dengan Volkswagen Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro), yang melaras sistem suspensi secara automatik mengikut perubahan keadaan jalan.
Berikut penampilan luaran dan dalaman Volkswagen Tayron serba baharu :
- Bahagian hadapannya direka dengan penampilan yang lebih tinggi dengan bonet yang lebar serta kemasan berukir hingga ke bahagian sisi.
- Di belakang, rekaan lampu yang moden melengkapkan bampar dengan sentuhan yang bergaya. Garisan badan yang kemas serta jarak panel badan yang rapat menyerlahkan siluet Tayron sebagai sebuah SUV yang premium dan kukuh.
- Varian elegan menggunakan sistem pencahayaan LED Plus pada lampu depan dan 3D LED di belakang serta elemen reka bentuk ‘Elegance’ pada bampar hadapan dan belakang.
- Sementara R-Line pula dilengkapi dengan lampu depan IQ.LIGHT HD Matrix dengan teknologi lampu tinggi bebas silau serta lampu belakang 3D LED dengan lampu isyarat membelok dinamik.
- Elemen R-Line juga boleh dilihat pada bampar hadapan, bampar belakang dan bahagian sisi.
- Kedua-dua varian menampilkan logo Volkswagen bercahaya di bahagian hadapan dan belakang.
- Masuk ke kabin, Tayron serba baharu menampilkan ekosistem digital generasi terkini menerusi paparan Discover bersaiz 12.9 inci(Elegance) dan Discover Pro Max bersaiz 15 inci (R-Line). Kedua-duanya dilengkapi perisian MIB4.
- Selain itu, ciri standard lain termasuklah ketersambungan aplikasi tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto serta pembantu suara IDA untuk kawalan bebas tangan dan stereng sport pelbagai fungsi dengan pedal shifter.
- Selain itu, ia juga didatangkan dengan kokpit digital pro bersaiz 10.25 inci yang menawarkan paparan instrumen beresolusi tinggi dan boleh disesuaikan sepenuhnya.
- Bagi varian R-Line, paparan head-up turut disediakan bagi memaparkan maklumat penting seperti kelajuan, arahan navigasi dan amaran sistem bantuan pemandu terus pada cermin hadapan.
- SUV itu menawarkan keluasan kargo sehingga 1,905 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat. Tempat duduk baris kedua dengan lipatan 40:20:40 dan baris ketiga dengan lipatan 50:50 membolehkan ruang kabin disesuaikan dengan mudah mengikut keperluan.
- Melengkapkan lagi pengalaman audio, varian Elegance didatangkan dengan sistem audio 8 pembesar suara, manakala R-Line dilengkapi sistem audio premium Harman Kardon dengan 10 + 1 pembesar suara, subwufer khusus, kuasa output 700 watt dan penguat digital 16 saluran.
Sementara itu, keselamatan menjadi keutamaan dengan IQ.DRIVE dan Tayron serba baharu menerima penarafan 5 bintang dalam penilaian Program Penilaian Kenderaan Baharu Eropah (Euro NCAP).
Antara ciri utama keselamatan yang ditawarkan bagi kedua-dua varian ialah 9-beg udara; Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC); Lane Assist; Lane Change System Side Assist; Rear Traffic Alert dengan Exit Warning; Auto Emergency Assist Front Assist dengan pejalan kaki dan penunggang basikal; Park Assist Plus dengan Park Distance Control serta Proactive Passenger Protection System dan Emergency Assist.
Tayron Elegance ditawarkan dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama 5-tahun, waranti pengeluar selama 5-tahun dan bantuan tepi jalan selama 5-tahun.
VOLKSWAGEN TAYRON ELEGANCE

































