Utama Berita Automotif Denza Bao 5, 1.5L turbo dengan motor elektrik, 0-100 km/j hanya 4.8...

Denza Bao 5, 1.5L turbo dengan motor elektrik, 0-100 km/j hanya 4.8 saat!

9

Denza meneruskan strategi pengembangan globalnya dengan memperkenalkan SUV pertama untuk pasaran Eropah menerusi Bao 5, yang membuat penampilan sulung pada Goodwood Festival of Speed 2026.

SUV premium sepanjang hampir lima meter itu dibangunkan menggunakan teknologi hibrid plug-in DMO (Dual Mode Off-road) yang menggabungkan prestasi, keupayaan off-road dan kecekapan bahan api dalam satu pakej.

Dengan kuasa maksimum 544 PS, pecutan 0-100 km/j sepantas 4.8 saat serta jarak perjalanan gabungan sehingga 835 km.

BAO 5 disasarkan kepada pelanggan yang mahukan sebuah SUV premium tanpa mengorbankan kemampuan meredah laluan mencabar.

Untuk makluman, Bao 5 PHEV pernah dipertontonkan di Malaysia pada Mei 2024.

Rekaan Gabung Gaya Premium dan Lasak

BYD Bao 5 menampilkan rekaan berkotak yang menyerlahkan karakter SUV off-road, namun masih mengekalkan elemen premium menerusi kemasan moden dan perincian yang kemas.

Bahagian hadapan dipadankan lampu utama berbentuk cincin yang mengapit gril gelap bersama logo DENZA, manakala bampar hadapan dengan plat pelindung menyerlahkan imej lasak.

Di bahagian sisi pula, rel bumbung aluminium, gerbang roda yang besar serta pemijak sisi melengkapkan penampilannya, dengan varian Ultimate menerima pemijak sisi elektrik.

Di belakang, pintu ruang kargo menggunakan fungsi tutup perlahan (soft close) dan dipadankan bersama tayar simpanan yang dipasang pada pintu belakang, selain spoiler bumbung yang menempatkan lampu brek ketiga.

  • Dimensi Ultimate ialah 4,921 mm panjang, 1,970 mm lebar dan 1,930 mm tinggi.
  • Jarak roda 2,800 mm membantu menyediakan ruang kabin yang lebih luas untuk lima penumpang.

Platform DMO Fokus Prestasi dan Off-road

Nadi kepada Bao 5 ialah sistem hibrid plug-in DMO (Dual Mode Off-road), iaitu seni bina yang dibangunkan khusus untuk SUV lasak.

Ia menggabungkan enjin petrol turbo 1.5 liter, dua motor elektrik, casis tangga (ladder frame) dan teknologi Cell-to-Chassis (CTC), sekali gus menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih hampir kepada sebuah EV.

Enjin petrol lebih banyak berperanan sebagai penjana kuasa kepada bateri dan motor elektrik, manakala sistem pacuan semua roda memastikan penghantaran kuasa sentiasa optimum sama ada di jalan raya atau laluan mencabar.

  • Enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 150 PS dan 240 Nm.
  • Motor elektrik hadapan menghasilkan 272 PS, manakala motor belakang 388 PS.
  • Kuasa sistem mencecah 544 PS dan 760 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.8 saat.
  • Motor elektrik belakang yang dibangunkan khas untuk off-road mampu menghasilkan sehingga 8,000 Nm tork pada roda.
  • Tiga kunci diferensial elektronik bertindak balas kira-kira 30 kali lebih pantas berbanding sistem mekanikal konvensional.

Suspensi Pintar Tingkat Keupayaan

Bagi memastikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian, kedua-dua varian menggunakan suspensi double wishbone di hadapan dan belakang.

Varian Ultimate pula menerima sistem kawalan badan pintar DiSus-P yang memantau lebih 20 sensor secara masa nyata sebelum melaraskan suspensi mengikut keadaan jalan.

Selain meningkatkan keselesaan di atas jalan biasa, sistem itu turut membantu BAO 5 mengharungi laluan off-road dengan lebih yakin.

  • Kelegaan bumi boleh dilaraskan sehingga 140 mm, termasuk dinaikkan 90 mm dan diturunkan 50 mm.
  • Fungsi meratakan badan secara automatik memudahkan penggunaan ketika berkhemah atau berhenti di permukaan tidak rata.
  • Kelegaan bumi maksimum mencecah 310 mm dengan sudut pendekatan 39 darjah dan sudut pelepasan 34 darjah.
  • Radius pusingan minimum hanya 5.9 meter walaupun bersaiz hampir lima meter.

Blade Battery dan Pengecasan Pantas

 

 

Bao 5 menggunakan Blade Battery Generasi Kedua berkapasiti 31.8 kWj yang dipasang menggunakan teknologi Cell-to-Chassis, sekali gus meningkatkan ketegaran struktur dan kecekapan pembungkusan bateri.

Gabungan bateri dan sistem hibrid itu membolehkan SUV ini dipandu sejauh 90 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya atau sehingga 835 km dengan tangki penuh dan bateri dicas sepenuhnya.

  • Jarak pemanduan elektrik sehingga 90 km (WLTP).
  • Jarak perjalanan gabungan sehingga 835 km (WLTP).
  • Penggunaan bahan api (berwajaran) hanya 4.2 liter/100 km.
  • Pelepasan karbon dioksida serendah 94 g/km mengikut piawaian Euro 6e.

Pengecasan AC tiga fasa 11 kW mampu mengecas bateri daripada 15 hingga 100 peratus dalam sedikit melebihi tiga jam.

Bao 5 turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang membolehkan bateri dicas daripada 30 hingga 80 peratus dalam hanya 16 minit.

Kabin Sarat Teknologi

Ruang dalaman Bao 5 dibangunkan dengan memberi penekanan kepada teknologi, keselesaan dan kemudahan penggunaan.

Pemandu menerima kluster instrumen digital 12.3 inci bersama papar pandu (Head-up Display), manakala skrin maklumat hibur 15.6 inci menjadi pusat kawalan utama kenderaan.

Sistem itu menyokong Google Built-in yang menyediakan Google Maps, Google Assistant dan Google Play Store, selain sebuah lagi skrin khas untuk penumpang hadapan.

Bao 5 turut dilengkapi pembantu suara pintar dengan empat zon pengecaman yang mampu mengawal lebih 300 fungsi kenderaan.

  • Sistem audio Devialet dengan 16 pembesar suara untuk Elegance dan 18 pembesar suara untuk Ultimate.
  • Tempat duduk hadapan menerima pelarasan elektrik, sokongan lumbar elektrik dan fungsi urutan 10 titik.
  • Varian Ultimate menambah pengudaraan untuk tempat duduk belakang serta kemasan kulit Nappa.
  • Ruang simpanan khas 4.5 liter boleh menyejukkan minuman hingga -6°C atau memanaskannya sehingga 50°C.

Selain itu, ruang bagasi menawarkan kapasiti 475 liter dan boleh diperluaskan kepada 1,069 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, atau sehingga 1,736 liter apabila diukur hingga ke paras bumbung.

Kelengkapan dan Keselamatan

DENZA menawarkan Bao 5 dalam dua varian iaitu Elegance dan Ultimate. Kedua-duanya dilengkapi pelbagai ciri premium sebagai standard, manakala Ultimate menerima beberapa penambahbaikan dari segi teknologi dan keselesaan.

  • Elegance dilengkapi rim aloi 18 inci, bumbung suria panoramik, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan, stereng berpemanas, tempat duduk belakang berpemanas serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.
  • Ultimate menambah rim aloi 20 inci, suspensi DiSus-P, pemijak sisi elektrik, cermin pandang belakang digital, sistem audio Devialet 18 pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar berkembar serta pengudaraan tempat duduk belakang.

Dari aspek keselamatan, Bao 5 menggunakan struktur badan yang diperbuat daripada 96 peratus keluli berkekuatan tinggi, manakala bumbungnya mampu menahan daya mampatan statik sehingga 12 tan.

SUV ini dilengkapi 11 beg udara, termasuk beg udara hadapan, sisi, lutut pemandu dan beg udara tirai bagi meningkatkan perlindungan kepada semua penumpang.

Sistem bantuan pemandu pula merangkumi Kawalan Jelajah Pintar, Amaran Trafik Silang Hadapan dan Belakang bersama Brek Automatik.

Turut dilengkapi Bantuan Kekal Lorong, Amaran Keluar Lorong, Kawalan Menuruni Bukit, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera 360 darjah.

Denza akan membuka tempahan Bao 5 di seluruh Eropah bermula musim panas tahun ini, dengan penghantaran pertama dijangka bermula pada suku keempat 2026.

Spesifikasi Denza Bao 5

Enjin & Sistem Hibrid

  • Enjin 1.5 liter turbo empat silinder.
  • Kuasa enjin: 150 PS, 240 Nm.
  • Dua motor elektrik.
  • Kuasa sistem: 544 PS (400 kW).
  • Tork sistem: 760 Nm.
  • Pacuan semua roda (AWD).

Prestasi

  • 0-100 km/j: 4.8 saat (Elegance), 5.0 saat (Ultimate).
  • Kelajuan maksimum: 180 km/j.
  • Radius pusingan: 5.9 meter.
  • Kapasiti menunda: 2,500 kg.

Bateri & Pengecasan

  • Blade Battery Generasi Kedua 31.8 kWj (LFP).
  • Teknologi Cell-to-Chassis (CTC).
  • Jarak EV: 90 km (WLTP).
  • Jarak gabungan: 835 km (WLTP).
  • AC 11 kW.
  • DC 100 kW.
  • Cas 30-80% dalam 16 minit.

Dimensi

  • Elegance: 4,888 x 1,970 x 1,920 mm.
  • Ultimate: 4,921 x 1,970 x 1,930 mm.
  • Jarak roda: 2,800 mm.

Suspensi & Brek

  • Suspensi double wishbone hadapan dan belakang.
  • Ultimate dilengkapi sistem DiSus-P.
  • Brek cakera berpengudaraan.
  • Angkup brek tetap hadapan (Ultimate).

Ruang Simpanan

  • Bagasi: 475 liter.
  • 1,069 liter (tempat duduk belakang dilipat).
  • Sehingga 1,736 liter (hingga paras bumbung).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here