
BMW Motorrad bakal menambah satu lagi model M untuk tahun 2027 dan ianya bukanlah sebuah M 1300 GS yang sedang hangat diperkatakan.
Model GS itu tetap akan tiba, cuma besar kemungkinan hanya pada tahun model 2028. Yang ini ialah sebuah model baharu sepenuhnya: BMW M 1000 RS (2027).
Bukti kewujudannya datang daripada dua badan berkuasa Amerika Syarikat: U.S. Environmental Protection Agency (EPA) dan California Air Resources Board (CARB), kedua-duanya telah mengesahkan model tersebut untuk tahun 2027.
Menariknya, M 1000 RS disahkan seiring dengan M 1000 RR, bermakna ia menggunakan enjin 999cc empat sebaris yang sama.
Pensijilan CARB turut memaparkan data emisi yang sama seperti M 1000 RR 2026, menunjukkan angka prestasi yang dijangka kekal: 205 hp pada 13,000 rpm dan 113 Nm pada 11,100 rpm.
BMW sebelum ini mengumumkan bahawa M RR akan menerima rangka generasi ketiga yang lebih ringan untuk 2027.
Huruf “RS” pada asalnya merujuk kepada Rennsport (motorsport), tetapi sejak kemunculan R 100 RS pada 1976, BMW menukar maksudnya kepada “Reise und Sport” — Travel and Sport, atau dalam bahasa kita: sport‑tourer.
Dalam barisan BMW sekarang, satu‑satunya model RS ialah R 1300 RS, menggunakan enjin Boxer 1,300cc dengan output 145 hp pada 7,750 rpm dan 149 Nm pada 6,500 rpm.
Jadi untuk M 1000 RS, logiknya ia merupakan versi sport‑touring kepada M 1000 RR. Ini selari dengan data Equivalent Inertia Mass (EIM) dalam pensijilan CARB. EIM ialah nilai yang digunakan semasa ujian dyno untuk mewakili berat kenderaan bersama inersia putaran komponennya.

































