
Selepas kemunculan model naked BMW F450 R pada September lalu, BMW Motorrad kini memperkenalkan BMW F450 RR, sebuah motosikal supersport yang ditawarkan dalam empat varian berbeza.
Ia menggunakan tetapan enjin dua silinder sebaris 420 cc yang sama digunakan pada model F450 R dan F450 GS.
Enjin tersebut mampu menjana kuasa 48 hp pada 8,750 rpm dan 42 Nm tork pada 6,750 rpm, sama seperti versi naked dan adventure.
Namun, F450 RR menerima talaan khusus untuk penggunaan supersport, dengan geometri casis dan ergonomik yang diubah suai bagi menawarkan pengalaman tunggangan lebih agresif.
Aspek suspensi pula dikendalikan oleh fork jenis USD KYB 43 mm di hadapan dan penyerap hentak KYB di belakang, dipadankan dengan lengan ayun aluminium. Untuk versi yang menerima suspensi Sport, talaan rebound dan compression damping boleh dilaraskan.
Kuasa membrek diserahkan kepada cakera hadapan 310 mm yang dipadankan dengan angkup Brembo monobloc empat piston, manakala bahagian belakang menggunakan cakera 240 mm bersama angkup terapung ByBre satu piston.
BMW F450 RR turut menggunakan rangka tubular steel space frame yang dikimpal dengan komponen tempa bersepadu, manakala enjin dua silinder selari itu berfungsi sebagai sebahagian daripada struktur galas beban motosikal.
Motosikal ini menggunakan rim 17 inci dan mempunyai berat sekitar 177 kg. Selain itu, rekaan aerodinamiknya turut diperlihatkan dengan penggunaan winglet pada bahagian hadapan, menyerlahkan lagi identiti supersport model terbaharu BMW ini.
Dari segi kelengkapan standard, F450 RR hadir dengan tempat duduk dua bahagian dengan ketinggian 790 mm, pemanas pemegang, lampu LED penuh, skrin paparan TFT berwarna 6.5 inci, fungsi sambungan telefon pintar dan port pengecas USB-C
Tangki bahan api sebesar 14 liter membolehkan jentera ini ditunggang sejauh lebih 350 km dengan kadar penggunaan bahan api 3.8 liter per 100 km.
Bagi pengguna yang mahukan motosikal ini sebagai kenderaan harian, aksesori seperti tank bag dan beg sisi lembut turut ditawarkan.
Selain varian asas, BMW turut menawarkan:
- Sport
- M Sport
- M Sport dengan Innovation Package
Varian Sport dilengkapi dengan Shift Assistant Pro serta suspensi Sport. Sementara itu, varian M Sport menambah Riding Modes Pro bersama skema warna khas Snaefell White/M Motorsport.
Bagi varian tertinggi dengan Innovation Package, ia turut menerima sistem Easy Ride Clutch yang dibangunkan BMW.
Harga jualan bermula dari £6,730 (RM36,569).































