
Sebuah video tular di media sosial Indonesia yang memaparkan pertengkaran antara pekerja stesen minyak dan Gabenor Bali, Wayan Koster di tengah barisan panjang kenderaan susulan krisis petrol di pulau berkenaan.
Dalam video yang beredar, pekerja wanita itu dilihat meluahkan rasa kesal di depan gabenor berkenaan akibat kepenatan dan menegaskan dirinya bukan robot untuk bekerja tanpa rehat susulan perlu melayani barisan kenderaan yang panjang setiap hari.
Pertengkaran itu dipercayai berlaku selepas adanya cadangan pembukaan stesen minyak 24 jam yang dinilai menambah beban kerja petugas yang harus melayani pelanggan hingga larut malam.
Peristiwa itu terjadi ketika Wayan Koster melakukan tinjauan di Denpasar.

Protes yang disampaikan petugas tersebut kemudian menjadi perhatian pengguna media sosial susulan masih tiada kepastian isu berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Sementara itu, PT Pertamina Patra Niaga mengambil langkah pemulihan bahan api di Bali dengan mengukuhkan barisan armada kenderaan tangki, menambah kakitangan, serta mengoptimumkan operasi terminal selama 24 jam.
Timbalan Presiden Komunikasi Korporat Pertamina Patra Niaga, Kitty Andhora mengatakan syarikat terus berusaha melancarkan pengagihan bahan api ke stesen minyak bagi memenuhi keperluan pengguna.
“Kami terus mempercepat pemulihan layanan petrol di Bali melalui peningkatan armada mobil tangki, penambahan pekerja serta kedatangan kapal pengangkut minyak,” jelasnya.
Tambahnya, langkah tersebut bertujuan mempercepat penghantaran bahan api sekaligus membantu mengurangkan barisan kenderaan yang masih terjadi di sejumlah wilayah Bali.





























