Utama Berita Automotif UMW Toyota rekod jualan lebih 24,500 unit suku ketiga 2026

UMW Toyota rekod jualan lebih 24,500 unit suku ketiga 2026

5

UMW Toyota Motor merekodkan jualan melebihi 24,500 kenderaan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, sekali gus menjadikan jumlah jualan tahunan setakat ini melebihi 60,800 unit.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan prestasi pada suku ketiga 2026 dicatatkan dalam pasaran automotif yang terus berkembang, dengan ciri peningkatan minat terhadap kenderaan berelektrifikasi serta jangkaan pelanggan yang lebih tinggi terhadap kemudahan dan perkhidmatan selepas jualan.

Presidennya, Datuk Ravindran K berkata, syarikat kekal fokus untuk memperkukuh pengalaman pemilikan melalui kebolehpercayaan, kemudahan dan sokongan pelanggan.

“Prestasi suku ketiga kami mencerminkan kepercayaan berterusan rakyat Malaysia terhadap Toyota serta kekuatan pengalaman pemilikan yang kami bina selama ini.

“Seiring dengan perubahan pasaran, fokus kami kekal jelas. Kami mahu setiap pelanggan berasa yakin dengan pilihan mereka, disokong dalam perjalanan mereka dan diyakinkan bahawa Toyota memberikan nilai jauh selepas mereka meninggalkan bilik pameran,” katanya.

UMW Toyota memaklumkan, pihaknya turut memperluas akses kepada infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) menerusi kerjasama dengan chargEV dan JomCharge sebagai sebahagian daripada pendekatan Multi-Pathway ke arah mobiliti berelektrifikasi.

Inisiatif itu akan menyaksikan 42 stesen pengecasan EV awam dipasang di 21 lokasi Toyota dan Lexus di seluruh negara, dengan pelaksanaan secara berperingkat dijadualkan pada separuh pertama 2027.

Daripada jumlah itu, 38 stesen pengecasan di 19 lokasi akan disediakan menerusi chargEV, manakala empat lagi stesen di dua lokasi akan dikendalikan menerusi JomCharge.

Setakat ini, tujuh lokasi telah siap, manakala baki lokasi akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kemudahan pengecasan itu akan dibuka kepada semua jenama EV, dengan lokasi yang mengambil bahagian boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih pengendali pengecasan masing-masing.

Sementara itu, UMW Toyota berkata, pihaknya turut menggalakkan penggunaan perkhidmatan digital yang lebih meluas menerusi kempen Toyota MY App yang berlangsung dari 14 September hingga 31 Disember 2026.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here