
BMW Motorrad sekali lagi mencuri tumpuan di Tasik Como, dengan memperkenalkan produk terbaharu mereka untuk segmen superbike, BMW Motorrad Concept RR.
Ini bukan sekadar konsep biasa kerana memberikan gambaran mengenai BMW RR generasi akan datang.
Dikuasakan Daripada Jentera Juara Dunia
BMW Motorrad terlibat dalam sukan permotoran atas dasar minat dan keyakinan sama ada di litar Kejohanan Dunia Superbike FIM serta dalam pelbagai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.
Setiap hari, pasukan BMW Motorrad menghayati simbiosis kecemerlangan kejuruteraan dan dorongan yang tidak pernah padam untuk mencapai prestasi tertinggi.
Pengetahuan berharga yang diperoleh dari dunia perlumbaan disalurkan terus ke dalam model pengeluaran.
Tersimpan di bawah reraut Concept RR ialah enjin empat silinder sebaris sejukan air yang sama seperti jentera juara dunia dari Kejohanan Dunia Superbike FIM.
Enjin ini sudahpun menjana lebih daripada 230 hp.
Sistem kawalan dan peraturan elektronik juga diambil terus dari WSBK M 1000 RR, termasuk pengurusan enjin, kawalan cengkaman dan brek enjin, memastikan setiap tunggangan yang maksimum.
Piawaian Baharu dalam Pembinaan Ringan dan Aerodinamik
Melalui penggunaan teknik pembuatan inovatif dan bahan berteknologi tinggi seperti karbon dan aluminium, Concept RR menetapkan piawaian baharu dalam pembinaan ringan.
Dari kerangka hinggalah ke komponen terkecil, setiap perincian dioptimumkan secara konsisten untuk pembinaan ringan dan prestasi.
Reka bentuknya juga mengikut prinsip ini, tajam, berfungsi, ekspresif, dengan logo RR timbul pada bahagian belakang dan simbol RR bercahaya di bahagian bawah ekor aluminium.
Jurutera BMW Motorrad memberi penekanan khusus pada aerodinamik, dengan fokus pada tiga matlamat utama:
- Kestabilan tunggangan pada kelajuan yang sangat tinggi
- Kelajuan membelok maksimum
- Rintangan udara minimum untuk kelajuan tertinggi yang optimum
Kesemua ini dicapai oleh Concept RR melalui pakej yang kompak serta pengurangan komponen luaran yang tidak perlu.
BMW Motorrad juga menumpukan pada peningkatan ketepatan aliran udara, bahkan melalui motosikal itu sendiri.
Ini jelas terlihat dari bahagian depan yang mempunyai pengudaraan, hinggalah ke bahagian belakang yang dibentuk satu unit, juga mempunyai pengudaraan dan dioptimumkan secara aerodinamik.
Motosikal konsep ini juga dilengkapi reraut yang dioptimumkan secara aerodinamik dengan sayap bersepadu dan brek berprestasi tinggi.
Kesemuanya direka khas untuk kegunaan berprestasi di jalan raya hingga ke perlumbaan profesional.
Jaket Concept RR LTD
BMW Motorrad bukan sahaja fokus pada motosikal, malah turut mementingkan gaya hidup penunggang.
Sempena pelancaran Concept RR, BMW Motorrad memperkenalkan jaket Concept RR LTD.
Jaket edisi terhad ini dihasilkan bersama MEINDL dan hanya dibuat sebanyak 50 helai sahaja.