
Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Lexus di Lebuhraya Bandar Utama berhampiran Plaza Tol Sungai Penchala, Petaling Jaya, pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 pagi.
“Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 8km,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 7.27 pagi, pihaknya mendapati sebuah motosikal telah terbakar hampir 80 peratus selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan SUV.
“Mangsa berusia 26 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Operasi pemadaman sedang dijalankan oleh anggota bomba,” katanya.