
NAZA Automotive Group (NAZA Auto), melalui anak syarikat milik penuh Naza Eastern Motors, secara rasmi melancarkan bilik pameran utama Suzuki Cars Malaysia yang pertama di Petaling Jaya hari ini.
Ia sebuah fasiliti moden berteknologi tinggi yang direka untuk mentakrif semula pengalaman penjualan Suzuki di Malaysia serta mempercepatkan pertumbuhan jenama itu dalam pasaran tempatan.
Terletak bersebelahan NAZA Auto Mall dengan bilik pameran seluas 5,000 kaki persegi dengan menampilkan identiti korporat Suzuki yang terkini. Ia dilengkapi dengan zon paparan yang menarik, kaunter servis khusus dalam bilik pameran, lounge gaya hidup dengan sudut kanak-kanak, serta bilik perbincangan peribadi.
Pengerusi Naza Automotive Group, Datuk Jasmy Ismail berkata, pelancaran itu melambangkan visi NAZA Auto untuk memodenkan perniagaan mereka dan memperkukuh hubungan dengan pengguna dalam pasaran yang semakin berfokus kepada pengalaman.
“Bilik pameran utama ini adalah pernyataan jelas bahawa NAZA Auto sedang bertransformasi menjadi kumpulan automotif yang lebih fleksibel, pantas dan berpaksikan pelanggan.
“Ia juga menunjukkan hala tuju strategik kami untuk memberi tumpuan kepada jenama teras seperti Suzuki, yang terus dikenali sebagai antara jenama paling dipercayai dan dinamik dalam segmen mobiliti kompak dan urban,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada strategi penyesuaian semula perniagaan, NAZA Auto sedang menyusun semula portfolio perniagaannya dengan menumpukan kepada jenama automotif yang menguntungkan dan mengurangkan segmen gaya hidup bukan teras yang tidak lagi sejajar dengan matlamat jangka panjang mereka.
Suzuki Cars Malaysia kini menjadi tonggak pertumbuhan strategik, dengan pelan perluasan rangkaian pengedar dalam beberapa tahun akan datang, disokong oleh platform digital, penyelesaian selepas jualan inovatif dan program kesetiaan pelanggan.
Bilik pameran baharu di Petaling Jaya ini juga akan menjadi pusat eksklusif untuk pelancaran semua model baharu Suzuki di Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama pengalaman jenama Suzuki.
Sempena pelancaran ini, pelanggan boleh menantikan promosi pertengahan tahun eksklusif dan program kesetiaan khas untuk menghargai pelanggan Suzuki sedia ada dan baharu.