
Anda mungkin tidak percaya asas kepada hasil karya seni yang cukup indah ini sebenarnya merupakan sebuah Royal Enfield Shotgun 650.Ā
Ya, karya binaan sekali ini dihasilkan oleh Dirk Oehlerking dari Kingston Custom, Jerman dan dinamakan sebagai Kingsman.Ā
Untuk menghasilkan karya sebegini indah, Oehlerking tidak bergantung kepada kaedah render digital.Ā
Sebaliknya, beliau menggunakan kaedah tradisional bermula dengan model skala 1:1 menggunakan kadbod sepenuhnya.Ā
Setelah berpuas hati dengan bentuk yang diinginkan, baharulah beliau membentuk panel demi panel menggunakan kepingan aluminium setebal 2 mm.Ā
Hasilnya ialah sebuah streamliner berukuran sepanjang 3.9 meter yang tampak seperti sebuah jentera yang mahu memecahkan rekod kelajuan darat.Ā
Namun, kelajuan bukanlah matlamat asal projek ini, memandangkan ia masih lagi dikuasakan oleh enjin 650 cc Royal Enfield.Ā
Bahagian depan Kingsman ini menampilkan muncung aerodinamik yang dipasang pada pendakap buatan tangan yang disambung ke leher stereng.Ā
Ia masih lagi mengekalkan lampu OEM LED Shotgun 650, diikuti dengan penutup roda dipasang pada bahagian fork.Ā
Tempat duduk pula diposisikan lebih ke belakang yang dibaluti bahan suede perang, sementara bahagian ekor panjang pula menempatkan lampu Cadillac 1958.Ā
Menariknya, bahagian ekor tersebut direka seakan sebuah Rolls-Royce Boat Tail di mana terdapat ruang simpanan besar yang lengkap dengan pelbagai aksesori dan juga set piknik.Ā
Selain mengekalkan enjin asal Shotgun 650, Kingsman turut menggunakan perkakasan lain Royal Enfield seperti fork depan Classic 650, diikuti dengan rim 19 inci depan dan 18 inci belakang juga dari Classic 650.Ā
Ia turut menerima perincian istimewa seperti lampu isyarat bullet chrome, lencana vintaj Royal Enfield di depan, kemasan pinstripe halus diikuti dengan aksen emas.Ā
Hasil akhir Kingsman ini boleh diibaratkan sebagai sebuah Rolls-Royce Boat Tail versi dua roda yang cukup elegan.
Bukan untuk laju, tapi dijadikan sebagai sebuah arca seni bergerak untuk tatapan umum.Ā


































