
Dalam keadaan standard, Honda Grom (atau MSX125) dengan enjin 125 cc itu mampu menjana kuasa setinggi 9.6 hp dan 10.5 Nm.
Namun di tangan pihak yang pakar, angka tersebut boleh melonjak sehingga 63 hp dan 542 Nm!
Sebuah syarikat dari Ohio, 3C Mini Works menghasilkan projek menggantikan sistem pacuan mekanikal asal dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuh masa.
Dengan menggunakan pengalaman yang ditimba daripada projek modifikasi beberapa model Honda seperti Ruckus dan Grom, 3C Mini Works memperkenalkan penyelesaian motor hub kustom di belakang.
Penyelesaian ini memerlukan beberapa komponen yang dicetak secara 3D serta perumah bateri keluli bagi memastikan ia dapat penampung penambahan berat tambahan pek bateri berkapasiti tinggi.
Selain itu, sistem suspensi turut dipertingkatkan dengan sistem boleh laras sepenuhnya diikuti dengan naik taraf sistem brek Brembo selari dengan peningkatan kuasa yang disebutkan tadi.
Penggunaan motor yang dipasang pada hab roda menjadikan motosikal ini tidak lagi memerlukan sistem pacuan rantai, sekali gus mengurangkan kesan kehilangan kuasa mekanikal.
Dalam masa yang sama, ia juga menjadikan rekaan yang lebih ringkas dan pengalaman tunggangan yang lebih senyap tanpa bunyi bising yang biasa dikaitkan dengan rantai, sproket dan transmisi.
Sayang sekali, projek Honda Grom ini tidak direka untuk dijadikan sebagai motosikal produksi sebenar.
Sebaliknya, pihak 3C Mini Works mahu mempamerkan kebarangkalian yang wujud apabila teknologi elektrifikasi bertemu dengan kejuruteraan bebas dan kreatif.


































