Utama Berita Automotif Berita Global Honda CT125 Hunter Cub 2026 Jepun, 2 warna baharu, RM12.5 ribu

Honda CT125 Hunter Cub 2026 Jepun, 2 warna baharu, RM12.5 ribu

5

Honda mengumumkan kemas kini bagi model moped lasak CT125 Hunter Cub untuk pasaran Jepun.

Bagi keluaran tahun 2026, tumpuan diberikan kepada pembaharuan variasi warna bagi memberikan lebih pilihan kepada peminat motosikal gaya hidup tersebut.

CT125 Hunter Cub dijadualkan untuk mula dipasarkan pada 20 Februari 2026.

Motosikal ini terus mengekalkan identiti uniknya yang menggabungkan elemen moden dan lasak.

Di antara ciri yang dikekalkan termasuklah penggunaan ekzos tinggi atau up-muffler yang ikonik serta rak barang belakang bersaiz besar yang sangat praktikal untuk aktiviti luar.

Motosikal begini mempunyai peminat tersendiri seperti yang dibuktikan oleh Aveta Ranger dan Yamaha PG-1.

Warna Baharu dan Harga Jualan

Untuk tahun 2026, Honda memperkenalkan dua warna baharu iaitu Asteroid Black Metallic yang menonjolkan imej premium dan Matte Fresco Brown yang memberikan kesan lebih tenang dan bersahaja.

Warna ini akan ditawarkan bersama warna sedia ada iaitu Glowing Red, menjadikan keseluruhan pilihan kepada tiga warna.

CT125 Hunter Cub ditawarkan pada harga 495,000 Yen. Jika ditukar kepada mata wang tempatan mengikut kadar semasa, ia bersamaan dengan kira-kira RM12,478.95.

Model ini diimport dari Thailand dan meskipun terdapat permintaan untuk dibawa ke pasaran tempatan, harga tetap memainkan peranan penting bagi menyaingi Aveta dan Yamaha.

Sasaran jualan tahunan bagi model ini di pasaran Jepun adalah sebanyak 7,000 unit.

Motosikal Pelbagai Guna

CT125 Hunter Cub direka untuk pelbagai senario penggunaan, bermula daripada tunggangan santai di dalam bandar sehinggalah kepada aktiviti kembara dan meredah laluan yang mencabar.

Reka bentuk versatil menjadikannya model yang diminati oleh penunggang yang mahukan pengalaman berbeza.

Rangkaian Kuasa

Model ini dikuasakan enjin JA65E 123cc dengan konfigurasi silinder tunggal OHC 4-lejang dan sistem penyejukan udara.

Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 9.1 ps pada 6,250 rpm. Manakala tork maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 11 Nm pada 4,750 rpm.

Sistem penyampaian bahan api menggunakan teknologi suntikan bahan api elektronik PGM-FI yang dikawal secara elektronik.

Bagi sistem penghidup, ia dilengkapi sistem penghidup elektrik serta penghidup kaki sebagai sokongan.

Kuasa dihantar ke roda melalui sistem transmisi 4-kelajuan.

Meskipun direka untuk pelbagai kegunaan, Honda hanya membekalkan tangki petrol dengan kapasiti 5.3 liter atau tambahan 0.2 liter berbanding PG-1.

Satu alasan yang kukuh untuk menjadikan pengalaman lebih berwarna-warni dan boleh diselesaikan dengan membawa tong tambahan.

Spesifikasi Teknikal Honda CT125 Hunter Cub 2026 Jepun

  • Nama Model: CT125 Hunter Cub
  • Kod Model: Honda 8BJ-JA65
  • Panjang x Lebar x Tinggi: 1,965 mm x 805 mm x 1,085 mm
  • Jarak Roda: 1,260 mm
  • Jarak Minimum Dari Tanah: 165 mm
  • Ketinggian Tempat Duduk: 800 mm
  • Berat: 118 kg
  • Kapasiti Penumpang: 2 orang
  • Enjin: 123cc JA65E silinder tunggal OHC 4-lejang penyejuk udara
  • Sesaran Enjin: 123 sentimeter padu
  • Gerek x Lejang: 50.0 mm x 63.1 mm
  • Nisbah Mampatan: 10.0
  • Kuasa Maksimum: 9.1 ps @ 6,250 rpm
  • Tork Maksimum: 11 Nm @ 4,750 rpm
  • Kadar Penggunaan Bahan Api (Ujian Tetap): 63.0 km/l pada kelajuan tetap 60 km/j dengan 2 penumpang
  • Kadar Penggunaan Bahan Api (Mod WMTC): 66.9 km/l untuk 1 penumpang
  • Sistem Bahan Api: Suntikan bahan api kawalan elektronik PGM-FI
  • Sistem Penghidup: Elektrik dan kaki
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 5.3 Liter
  • Transmisi: 4-kelajuan malar
  • Saiz Tayar Hadapan: 80/90-17M/C 44P
  • Saiz Tayar Belakang: 80/90-17M/C 50P
  • Sistem Brek Hadapan: Cakera hidraulik dengan ABS
  • Sistem Brek Belakang: Cakera hidraulik
  • Sistem Ampaian Hadapan: Teleskopik
  • Sistem Ampaian Belakang: Lengan ayun
  • Negara Pengeluar: Thailand (Thai Honda Co., Ltd)

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here