
Cyclone Malaysia memperkenalkan model terbaharu dalam rangkaian jenama premium mereka – Cyclone RA600 – sebuah jentera cruiser moden menggabungkan karakter klasik dan teknologi moden.
Pelancaran rasmi ini diadakan bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel, baru-baru ini.

Dengan harga bermula RM25,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), Cyclone RA600 boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia dengan dua pilihan warna – Strong Grey dan Prestige Black – dan model ini direka bagi mencuri hati penunggang dengan gaya tersendiri sambil memastikan pengalaman tunggangan selamat dan penuh keyakinan.
Dikuasakan enjin 550.4 cc, 2-silinder, 4-lejang, 8-injap DOHC dengan sistem penyejukan cecair, Cyclone RA600 menghasilkan kuasa maksimum 43.5 kW pada 8,500 rpm dan tork puncak 55 N.m pada 6,500 rpm.

Ia bakal memberikan tindak balas prestasi bertenaga serta pecutan yang lancar.
Menerusi sistem EFI Bosch, pencucuhan ECU, transmisi 6-kelajuan, pacuan akhir tali sawat dan penghidup elektrik, Cyclone RA600 menjanjikan pengalaman tunggangan yang halus dan selesa.

Direka demi keselesaan dan kebolehpercayaan, ia juga sangat berbaloi untuk perjalanan harian.
Struktur Cyclone RA600 dilengkapi suspensi depan jenis fork teleskopik dan penyerap hentak belakang monoshock, bagi memastikan kestabilan dan keselesaan optimum.
Sistem brek cakera tunggal di hadapan dan belakang disokong ABS dua saluran pula menjadikan kawalan lebih selamat.

Selain rekaan badan bergaya, Cyclone RA600 juga tampil dengan pelbagai ciri moden seperti paparan meter TFT, lampu LED penuh dengan DRL, TCS yang boleh dihidupkan atau dimatikan, TPMS serta port pengecasan USB Type-A bagi kemudahan penunggang ketika di jalan raya.
Turut tersedia sistem suis keselamatan tongkat sisi, penyandar tempat duduk belakang serta ekzos berkembar kiri dan kanan yang menyerlahkan identiti cruiser moden dan berkuasa.

Bagi pengalaman tunggangan lebih pintar, Cyclone RA600 dilengkapi sambungan Bluetooth yang menyokong aplikasi pihak ketiga – Carbit Ride – membolehkan navigasi, paparan skrin dan notifikasi panggilan terus pada meter.
Ia juga dilengkapi dengan sistem kunci mekanikal untuk akses selamat dan serasi dengan peranti Android dan iPhone.

Cyclone RA600 menggunakan tayar CST bersaiz 130/90-16 M/C di hadapan dan 150/80-16 M/C di belakang, memastikan cengkaman optimum di pelbagai permukaan jalan.

Dimensi keseluruhannya 2,190 mm panjang, 855 mm lebar dan 1,115 mm tinggi memberikan keseimbangan proporsional serta reka bentuk kukuh.
Dengan jarak roda 1,510 mm, ketinggian tempat duduk 725 mm, jarak ke tanah 150 mm dan berat 198 kg, Cyclone RA600 menawarkan keselesaan tunggangan maksimum.
Cruiser moden ini dikuasakan dengan piston dan lejang 72 mm x 67.6 mm serta nisbah mampatan 11:1 yang memberikan keseimbangan optimum antara prestasi, kecekapan dan keselesaan untuk tunggangan harian.

Cyclone RA600 dilengkapi tangki bahan api 14.5 liter dan reka bentuk ergonomik dual seat, menawarkan keselesaan optimum kepada penunggang dan penumpang.
Setiap pembelian Cyclone RA600 disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dengan perbatuan tanpa had, serta akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.





























