
Empat lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian merusuh dan merosakkan sebuah kereta di Rantau Panjang di Sibu, dipercayai akibat perasaan tidak puas hati selepas kenderaan mereka dilanggar.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten KomisionerAbang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun itu, ditahan di tepi jalan Lorong Salim 5B3 kira-kira 9.30 malam tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila suspek terserempak dengan sebuah Perodua Axia berwarna perak, yang berhenti di tepi jalan ketika dalam perjalanan ke Rantau Panjang.
“Suspek kemudian menghampiri kereta berkenaan untuk memeriksa individu di dalamnya, namun pemandunya bertindak mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kereta dinaiki suspek, sebelum memecut melarikan diri.
“Keempat-empat suspek kemudian mengejar kenderaan itu sehingga ke sebuah persimpangan lampu isyarat sebelum bertindak merosakkannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Abang Zainal Abidin berkata seorang suspek mengaku membaling batu ke arah cermin sisi pemandu, manakala seorang lagi memecahkan cermin kereta berkenaan.
Beliau berkata tindakan itu dipercayai bermotifkan dendam selepas kenderaan dinaiki suspek dilanggar.
Kesemua suspek yang mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat serta merusuh dengan senjata.





























