
Pemandu BYD Seal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis atas tiga pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Sabtu minggu lalu.
Pegawai bank, Raeven Goh Wey Haur, 24, yang memakai baju-T berwarna hijau, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Aliaa Anwar.
“Tidak bersalah,” kata lelaki bujang itu ketika berada di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memandu kenderaan itu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Seksyen itu turut memperuntukkan pengendorsan sabitan pada lesen memandu serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.
Pertuduhan kedua dan ketiga, Raeven didakwa memandu kenderaan sama secara berbahaya kepada orang awam dan gagal berhenti selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Bagi kes memandu secara berbahaya pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Sementara pertuduhan gagal memberhentikan kenderaan, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 52(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.





























