
BYD Sime Motors memperkukuh kehadirannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) baharu di Miri, Sarawak.
Pembukaan pusat tersebut bertujuan meningkatkan akses pelanggan terhadap kenderaan elektrik (EV) serta perkhidmatan selepas jualan di bahagian utara Sarawak.
Dengan keluasan 12,228 kaki persegi, pusat 3S di Miri itu adalah yang terbesar di Sarawak setakat ini, menggabungkan operasi jualan dan servis dalam satu lokasi bagi memudahkan pelanggan.

Kemudahan itu menempatkan bilik pameran seluas 5,838 kaki persegi yang mampu mempamerkan sehingga lima kenderaan, manakala ruang servis seluas 6,390 kaki persegi dilengkapi enam ruang kerja dengan kapasiti mengendalikan sehingga 35 kenderaan sehari.
Bagi meningkatkan keselesaan pelanggan, pusat berkenaan turut menyediakan:
- ruang istirahat
- kaunter bar
- bilik perbincangan
- ruang khas penyerahan kenderaan
- kemudahan pengecasan EV
Pusat 3S Miri dikendalikan Kah Progression Auto Sdn Bhd dengan kekuatan 15 kakitangan bagi menguruskan operasi jualan dan selepas jualan.

Syarikat itu adalah anak syarikat milik penuh Oriental Holdings Berhad yang mempunyai pengalaman lebih 60 tahun dalam industri automotif di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pembukaan pusat baharu itu mencerminkan usaha berterusan syarikat memperluas kehadirannya di Malaysia Timur.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha kami mendekati pelanggan di luar bandar utama. Kerjasama dengan rakan pengedar tempatan juga membantu meningkatkan kesedaran mengenai EV serta membawa teknologi kenderaan dan bateri BYD lebih dekat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Di Sarawak, BYD Sime Motors kini mempunyai tiga cawangan rasmi di Kuching, Sibu dan Miri.

Kehadiran pusat baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta menjadi hab khusus untuk pelanggan di bahagian utara negeri.
Sebelum ini, Sime Motors membuka pusat 3S BYD pertama di Malaysia Timur di Kota Kinabalu, Sabah pada Disember 2024 sebagai sebahagian daripada usaha memperluas rangkaian jualan dan selepas jualan di rantau itu.
Bersempena pembukaan itu, Kah Progression Auto akan menganjurkan jelajah interaktif di Aras Bawah, East Court, Sayap Lama, Bintang Megamall, Miri dari 16 hingga 18 Oktober 2026 bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.





























