
OMODA | JAECOO Malaysia rasmi melancarkan JAECOO J5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) pada harga RM118,800.
Ketua OMODA & JAECOO Malaysia, Chris Tan berkata kehadiran SUV elektrik segmen-B itu menandakan babak penting bagi OMODA | JAECOO Malaysia dalam mengambil langkah pertama ke arah mobiliti elektrik penuh.
“J5 EV dibangunkan sebagai SUV gaya hidup yang menggabungkan prestasi, teknologi, praktikaliti dan kebebasan untuk meneroka.
“Tatkala kami memasuki fasa elektrifikasi seterusnya, J5 EV CKD mewakili komitmen jangka panjang kami untuk membina asas yang lebih kukuh bagi mobiliti elektrik di Malaysia,” jelasnya.
Berikut fakta ringkas Jaecoo J5 EV :
- SUV elektrik ini menggunakan bateri LFP 58.9 kWh daripada CATL yang mana pengecasan penuh menawarkan jarak pemanduan sejauh 461km (NEDC).
- Ia menyokong pengecasan AC 11kW, isian bateri 10-100 peratus mengambil masa kira-kira 7-jam.
- J5 EV menawarkan output kuasa 155kW dan tork maksimum 288Nm manakala pecutan 0-100kmj hanya mengambil masa 7.7 saat.
- Dilengkapi penutup gril aktif untuk menyokong kecekapan aerodinamik yang kemudian dipadankan dengan rim 18-inci.
- J5 EV menawarkan jarak kelegaan tanah 174mm dan kedalaman meredah air 450mm.
- Ruang kabin tampil minimalis yang dipadankan dengan bumbung kaca panoramik 1.45 meter bersama sistem pandangan sekeliling resolusi tinggi 540 darjah.
- Ruang simpanan hadapan (frunk) menawarkan kapasiti 35 liter sementara but belakang 480 liter. Lipatan kerusi belakang menawarkan ruang tambahan seluas 1,284 liter.
- J5 EV turut menampilkan ciri peralatan seiring dengan gaya hidup seperti Mod Haiwan Peliharaan, Mod Perkhemahan dan Vehicle-to-Load (V2L) 3.3kW yang membolehkan pelanggan membekalkan kuasa buat peralatan elektrik ketika aktiviti luar.
Demi ketenangan minda pemilik, J5 EV ditawarkan dengan 19 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2+ melibatkan :
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
- Pengesanan Titik Buta (BSD)
- Bantuan Tukar Lorong (LCA)
- Kawalan Kruise Adaptif Kelajuan Penuh (ACC)
- Front Vehicle Departure Alert (DAI)
- Bantuan Kruise Bersepadu (ICA)
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Brek Lintasan Trafik Belakang (RCTB)
- Brek Kecemasan Automatik (AEB) dan lain-lain
JAECOO J5 EV disokong oleh perlindungan waranti pengeluar yang komprehensif iaitu waranti kenderaan 7-tahun atau 150,000km serta waranti bateri voltan tinggi 10-tahun atau 200,000km.
J5 EV dipasang di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam dan didatangkan dengan pilihan warna badan Alpine Green, Fjord Grey, dan Carbon Crystal Black.




