
Tindakan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai menggunakan Toyota Alphard yang disewa untuk membawa masuk rakan senegaranya secara haram ke negara ini terbongkar selepas ditahan dalam Op Pintas di Changlun, Jitra pertengahan Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata dalam operasi jam 2 petang pada 14 Ogos lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu telah mengesan sebuah kenderaan mewah dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pasukan itu mengekori kenderaan berkenaan dari Pekan Changlun sehingga ke hadapan sebuah motel sebelum ditahan untuk diperiksa.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Myanmar berada di tempat duduk pemandu manakala dua wanita warga Myanmar pula berada di bahagian belakang.
“Hasil temu bual awal mendapati kedua-dua wanita terbabit dipercayai baru memasuki Malaysia dan diambil dari kawasan Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam sebelum dibawa ke Changlun,” katanya.
Susulan maklumat yang diperoleh, pasukan polis kemudian menyerbu sebuah bilik di motel dan menahan enam lelaki serta dua wanita warga Myanmar.
Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik di Motel yang terletak bersebelahan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.
Mohd Radzi berkata, keseluruhannya seramai 13 warga Myanmar termasuk pemandu kenderaan berusia 20 hingga 35 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
Dalam operasi sama, polis turut merampas Toyota Alphard yang dipercayai digunakan bagi tujuan mengambil dan menghantar migran yang baru memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, siasatan mendapati kenderaan mewah tersebut disewa daripada sebuah syarikat kereta sewa yang berpangkalan di Kuala Lumpur sebelum digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran.
Berdasarkan modus operandi yang dikesan, migran dipercayai memasuki negara ini melalui lorong tikus di kawasan sempadan sebelum dibawa ke lokasi transit di sekitar Changlun.
“Kubang Pasu merupakan daerah yang bersempadan dengan Thailand dan sentiasa menjadi antara lokasi tumpuan sindiket penyeludupan migran melalui jalan darat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.































