
Kumpulan perompak bertopeng bersenjatakan raifal AK-47 bertindak meletupkan sebuah van keselamatan yang membawa wang dalam satu rompakan dramatik di sebuah lebuh raya di Itali.
Kira-kira enam lelaki yang memakai topeng balaclava dan berpakaian serba hitam atau baju kerja putih keluar daripada beberapa buah kereta yang mengepung van tersebut di Puglia pada jam 8 pagi, Isnin.
Dalam operasi ala filem The Italian Job itu, satu letupan kuat telah memecahkan pintu dan bumbung van milik syarikat keselamatan Battistolli, sehingga serpihan kenderaan itu melayang ke udara.
Kemudian lokasi diselubungi asap tebal menyebabkan trafik terhenti sepenuhnya di laluan antara Lecce dan Brindisi. Seorang pemandu yang menghala ke arah lokasi kejadian sempat merakam detik letupan dan serbuan tersebut.
Kumpulan penjenayah itu dilihat memunggah bag wang dari van ke dalam salah sebuah kereta mereka, manakala sekurang-kurangnya seorang perompak berkawal di sebalik kenderaan lain untuk memantau keadaan.
Media Itali melaporkan bahawa beberapa kenderaan lain yang terperangkap dalam serangan hendap itu turut dirompak,namun jumlah kerugian sebenar masih belum dapat dipastikan.
Berbalas Tembakan Dengan Polis

Susulan kejadian itu, pihak polis yang tiba berbalas tembakan dengan penjenayah berkenaan.
Bahkan, gambar yang dikongsi media tempatan menunjukkan sebuah kereta polis berlubang akibat tembakan pada cermin hadapan, tepat di atas stereng.
Bagaimanapun, pihak polis Itali (Carabinieri) mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan dalam insiden tersebut.
Kumpulan perompak itu kemudian melarikan diri, mencetuskan aksi kejar-mengejar dan operasi memburu di kawasan luar bandar berhampiran bandar Squinzano.
Dua suspek berjaya ditangkap selepas cuba melarikan diri melalui kawasan padang selepas meninggalkan sebuah kereta Alfa Romeo putih. Sebuah lagi kenderaan jenis Jeep ditemui berhampiran lokasi tangkapan, manakala sekurang-kurangnya dua lagi suspek masih diburu.
Wilayah Berisiko Tinggi
Laporan berita Sky TG24 menyatakan kumpulan penjenayah itu berasal dari kawasan Foggia di Puglia, wilayah yang menduduki tangga kedua tertinggi bagi kes serangan terhadap kenderaan keselamatan.
Menurut kesatuan pengawal keselamatan (Savip) kepada The Times, barangan berharga bernilai kira-kira GBP 1.6 bilion (RM7.5 bilion) telah dicuri antara tahun 2019 dan 2023 melalui serangan sama di lebuhraya.
Siasatan lanjut mengenai rompakan berkenaan masih dijalankan.































