Pengecas tanpa wayar bermasalah? Nissan tampil dengan Qi2 – lebih bagus, kipas untuk penyejukan!

7

Masalah pengecasan telefon tanpa wayar dalam kereta bukan perkara baharu. Di antaranya telefon tidak dicas sepenuhnya, mudah panas atau tergelincir keluar dari kedudukan optimum ketika memandu.

Nissan kini tampil dengan penyelesaian inovatif iaitu pengecas tanpa wayar Qi2 dan pengeluar automotif pertama di Amerika Syarikat yang menawarkan teknologi ini.

Pengecas Qi2 baharu ini akan diperkenalkan pada Nissan Pathfinder 2026 dan Nissan Murano 2026.

Apa Itu Pengecas Tanpa Wayar Qi2?

Qi2 (disebut chee-two) merupakan evolusi besar berbanding sistem pengecas tanpa wayar generasi terdahulu.

Ciri paling ketara ialah tapak magnet timbul atau terangkat pada permukaan pengecas, yang membolehkan telefon dilekatkan dengan kemas dan tepat.

Ia serasi dengan:

  • iPhone 12 dan ke atas
  • Google Pixel 10 dan ke atas
  • Peranti Android dengan sarung aksesori yang bersesuaian

Magnet ini memastikan telefon kekal pada kedudukan optimum walaupun kereta bergerak, sekali gus meningkatkan kecekapan pengecasan.

Kedudukan Tepat, Pengecasan Lebih Efisien

Kedudukan atau peletakan telefon yang tepat adalah faktor kritikal dalam pengecasan tanpa wayar. 

Dengan sistem magnetik Qi2, telefon sentiasa berada dalam kedudukan optimum, termasuk model moden yang mempunyai modul kamera besar.

Hasilnya, kuasa dapat dipindahkan dengan lebih cekap dan stabil.

Setakat ini, Nissan Pathfinder 2026 dan Murano 2026 merupakan satu-satunya kenderaan dalam segmen masing-masing di AS yang menawarkan pengecas tanpa wayar Qi2.

Kipas Penyejuk Tangani Isu Pemanasan Lampau (Overheating)  

Satu lagi peningkatan utama ialah penambahan kipas penyejuk, yang membantu menurunkan suhu pengecas dan telefon secara serentak.

Isu pengurusan haba sering menjadi kelemahan sistem lama, menyebabkan pengecasan menjadi perlahan atau terhenti sepenuhnya.

Dengan suhu yang lebih terkawal:

  • Risiko pemanasan lampau dapat dikurangkan
  • Kecekapan pengecasan meningkat
  • Telefon boleh dicas dengan lebih pantas

Secara ringkas, telefon mengecas lebih cepat apabila berada pada suhu lebih rendah.

Kuasa Lebih Tinggi, Masa Lebih Singkat

Pengecas Qi2 Nissan membekalkan kuasa konsisten sehingga 15 watt, berbanding sekitar 5 watt pada banyak sistem lama.

Ini mengurangkan keperluan sistem melaraskan kuasa akibat haba berlebihan, sekali gus menghasilkan pengecasan yang lebih stabil.

Gabungan kuasa lebih tinggi dan sistem penyejukan aktif membolehkan masa pengecasan daripada 10 peratus ke 90 peratus dipendekkan daripada sekitar empat jam kepada sekitar 90 minit.

Lampu LED Tingkatkan Kebolehgunaan

Sebagai pelengkap, pengecas Qi2 turut dilengkapi lampu indikator LED:

  • Oren statik: pengecasan sedang berjalan
  • Hijau: peranti telah dicas penuh
  • Oren berkelip: objek asing dikesan atau telefon tidak berada pada kedudukan betul

Ciri ini memudahkan pemandu memeriksa status pengecasan sepintas lalu tanpa gangguan.

Melalui pengenalan Qi2, Nissan bukan sahaja meningkatkan teknologi dalam kabin, tetapi menyelesaikan masalah harian pengguna dengan pendekatan yang lebih praktikal dan berfungsi.

Pengguna boleh memberi tumpuan kepada pemanduan, tanpa perlu risau tentang bateri telefon yang tidak mencukupi.

Gambar: Nissan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here