
Nissan memperkenalkan PIXO, kereta bandar elektrik segmen-A baharu yang dibangunkan khusus untuk kegunaan di bandar-bandar Eropah.
Model ini merupakan sebahagian daripada visi Nissan, Mobility Intelligence for Everyday Life, dengan menawarkan pilihan elektrifikasi yang lebih mudah diakses serta pendekatan pembangunan kenderaan yang lebih pantas dan fleksibel.
PIXO dibangunkan dengan kerjasama Renault dan akan dikeluarkan di Eropah.
Bateri LFP 27.5kWj, Jarak 259 km
PIXO menggunakan bateri LFP 27.5kWj dan motor elektrik dengan output 60kW.
Bateri LFP ini merupakan yang pertama dipasang pada model Nissan di Eropah dan boleh dipandu sehingga 259km (WLTP).
Sistem pengecasan DC 50kW membolehkan bateri dicas daripada 15 hingga 80 peratus dalam kira-kira 28 minit.
Pengecasan AC 11kW pula disediakan sebagai kelengkapan standard untuk kegunaan di rumah atau tempat kerja selain menyokong fungsi dua hala.
PIXO dilengkapi teknologi bantuan pemanduan termasuk sistem brek kecemasan automatik, sistem mengekalkan lorong serta teknologi e-Pedal.
Teknologi Sambungan
PIXO dilengkapi aplikasi MyNissan yang menawarkan fungsi navigasi, perancangan laluan masa nyata, pengecasan dan beberapa fungsi kenderaan.
Sistem Google terbina dalam turut disediakan bersama Gemini untuk navigasi intuitif, perancangan laluan masa nyata dan sambungan yang lancar.
Dibangunkan Bersama Renault
PIXO dibangunkan menerusi kerjasama dengan Renault, menggunakan kepakaran dan kekuatan kedua-dua pihak bagi menghasilkan kereta bandar yang memenuhi keperluan pelanggan Eropah.
Dipandang lama, PIXO nampak seperti Twingo namun kekal berbeza dan direka oleh Nissan dan akan dihasilkan di fasiliti pengeluaran Renault di Novo Mesto, Slovenia.
Menurut Pengerusi Nissan AMIEO, Massimiliano Messina, PIXO dibangunkan khusus untuk Eropah dan kegunaan di bandar dengan menawarkan keperluan utama sebuah EV tanpa kerumitan yang tidak diperlukan.
Nissan turut menyatakan bahawa peningkatan kos bahan api mengukuhkan keperluan terhadap kenderaan berkuasa elektrik dan teknologi elektrifikasi.
Penghantaran kepada pelanggan bermula pada awal 2027, manakala harga, spesifikasi mengikut pasaran dan maklumat pra-tempahan akan diumumkan pada Disember 2026.
Spesifikasi Nissan PIXO 2027
- Panjang: 3,796mm, jarak roda: 2,492mm, tinggi: 1,512mm, lebar: 1,790mm (tanpa cermin sisi)
- Kelegaan tanah: 140mm
- Radius pusingan: 9.9m
- Bateri: 27.5kWj LFP
- Jarak perjalanan: 259km WLTP
- Pengecasan DC: 50kW, 15-80 peratus dalam kira-kira 28 minit
- Pengecasan AC: 11kW, dua hala
- Output kuasa: 60kW
- Kapasiti but: 356 liter VDA
- Kapasiti but dengan kerusi belakang dilipat: 1,221 liter VDA
Kredit foto: Nissan






































